DUNIA

Venezuela guna hasil jualan minyak perkasa sistem kesihatan - Presiden interim

Bernama 14/01/2026 | 10:43 MYT
Delcy Rodriguez bekata, setiap dolar yang memasuki Venezuela daripada sektor minyak dan gas asli akan dibelanjakan bagi keperluan sistem kesihatan negara. - Reuters
BOGOTA / ANKARA: Presiden interim Venezuela, Delcy Rodriguez pada Selasa berkata pendapatan daripada jualan minyak akan digunakan untuk menambah baik sistem kesihatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau berkata kerajaan sedang merangka pelan khas untuk sektor kesihatan yang telah terjejas akibat krisis bertahun-tahun, sambil menambah bahawa setiap dolar yang memasuki Venezuela daripada sektor minyak dan gas asli akan dibelanjakan bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara, menurut penyiar rasmi VTV.

Rodriguez berkata sebanyak 75 pusat kesihatan telah dikenal pasti di bawah pelan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai kenyataan bahawa hasil jualan minyak Venezuela akan dipindahkan ke akaun yang diuruskan oleh Washington.

Presiden AS Donald Trump baru-baru ini menyeru syarikat minyak untuk melabur sebanyak AS$100 bilion bagi memulihkan sektor minyak Venezuela.

"Kami akan mengekstrak jumlah minyak yang belum pernah dilihat oleh ramai orang sebelum ini," katanya pada Jumaat.

Selain menerima tentangan daripada syarikat minyak, termasuk Ketua Eksekutif ExxonMobil yang menyifatkan Venezuela sebagai "mustahil untuk dilabur", kumpulan pencinta alam sekitar turut mengkritik keras pelan itu.

"Ini adalah tindakan yang melulu dan berbahaya," kata Mads Christensen daripada Greenpeace International. "Satu-satunya jalan selamat untuk masa hadapan adalah peralihan adil daripada bahan api fosil."

Dalam operasi ketenteraan pada 3 Jan di Venezuela, AS telah menahan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya serta membawa mereka ke New York, di mana mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dadah dan senjata api.

Trump berkata pentadbirannya akan "menguruskan" Venezuela dan aset minyaknya semasa tempoh peralihan.

Walaupun pentadbiran Trump menyatakan keyakinan, penganalisis memberitahu BBC bahawa pelaburan berskala besar sukar dicapai tanpa kestabilan politik dan jaminan undang-undang, selain memberi amaran bahawa sasaran AS$100 bilion itu masih jauh daripada realiti.

Venezuela kini mengeluarkan kira-kira satu juta tong minyak sehari, merangkumi kurang daripada satu peratus bekalan global, menurut angka BBC.

-- BERNAMA

#Venezuela #jualan minyak #sistem kesihatan #Delcy Rodriguez