[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
DUNIA

Venezuela kecam tindakan "lanun pengecut" Israel terhadap flotila Gaza

Astro Awani 02/10/2025 | 00:25 MYT
Venezuela menegaskan bahawa tindakan Israel di perairan antarabangsa merupakan satu bentuk lanun moden dan jenayah perang yang berterusan. - Foto REUTERS
CARACAS: Kerajaan Venezuela mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera laut Israel yang memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyifatkannya sebagai “tindakan pengecut dan lanun” yang melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan.


Ringkasan AI
  • Venezuela mengutuk tindakan Israel memintas flotila Gaza, menyifatkannya sebagai "tindakan pengecut dan lanun" yang melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan.
  • Pemintasan terhadap misi bantuan lebih 5,500 tan disifatkan sebagai jenayah perang, dengan Venezuela menuduh Israel menggunakan sekatan sebagai alat genosid moden.
  • Venezuela menyatakan sokongan penuh terhadap aktivis flotila dan rakyat Palestin, serta menyeru komuniti antarabangsa mengaktifkan mekanisme diplomatik untuk menjamin keselamatan dan kebebasan pelayaran.


Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Venezuela, Yván Gil, pada Rabu, insiden pemintasan terhadap Flotila Kebebasan disifatkan sebagai serangan terhadap misi awam yang aman dan bertujuan menghantar lebih 5,500 tan bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat sekatan dan pengeboman berterusan.

Venezuela menegaskan bahawa tindakan Israel di perairan antarabangsa merupakan satu bentuk lanun moden dan jenayah perang yang berterusan.

“Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan adalah alat perang yang sengaja digunakan untuk melanjutkan genosid melalui cara lain,” kata kenyataan itu, sambil menyifatkan rejim Zionis sebagai ancaman sebenar terhadap keamanan dunia.

GSF, yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk tokoh seperti Greta Thunberg dan Mandla Mandela, telah menjadi simbol solidariti global terhadap rakyat Gaza.
Venezuela menyatakan sokongan penuh terhadap para aktivis yang berani mempertaruhkan keselamatan demi menyalakan semangat kemanusiaan.

“Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang berani dan para peserta flotila yang mempertahankan harapan dalam menghadapi kegelapan fasis,” tambah kenyataan itu, sambil menyeru komuniti antarabangsa agar mengaktifkan mekanisme diplomatik untuk melindungi aktivis dan menjamin kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.





#Berita Terkini Global Sumud Flotilla #Sumud Flotilla Tracker #Sumut Nusantara Tracker #Gaza #lanun pengecut