MEXICO CITY: Kerajaan Venezuela dan syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) Chevron menandatangani beberapa perjanjian untuk membangunkan projek bersama dalam industri minyak, kata Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez.
"Pemeteraian perjanjian ini akan membolehkan kami mencapai kemajuan ketara dalam meningkatkan pengeluaran," kata Rodriguez dalam satu majlis pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Advertisement
Beliau menambah perjanjian itu melibatkan pertukaran aset iaitu lesen medan gas akan ditukar dengan blok minyak Ayacucho-8, yang akan dimasukkan ke dalam Petropiar, satu usaha sama dengan syarikat milik kerajaan PDVSA.
Ini dijangka mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam rantaian minyak Orinoco dan meningkatkan pengeluaran.
Seorang wakil Chevron memaklumkan perjanjian itu membuka peringkat baharu kerjasama dengan Venezuela.
Beliau menambah Chevron meningkatkan pegangannya dalam satu lagi projek bersama, Petroindependencia, kepada 49 peratus dan juga mengembangkan penglibatan keseluruhannya dalam projek di negara itu.
Rodriguez turut mengulangi gesaannya untuk AS menarik balik sekatan terhadap Venezuela, dengan menyatakan bahawa hal itu perlu untuk mendapatkan jaminan undang-undang dan menarik pelaburan dalam sektor tenaga.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI