DUNIA
AS veto resolusi Majlis Keselamatan PBB tuntut gencatan senjata segera di Gaza

Shea berkata Washington tidak akan menyokong sebarang langkah yang gagal mengutuk Hamas atau menuntut kumpulan itu melucutkan senjata dan berundur dari Gaza. - Foto AP
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan antara Israel dan Hamas di Gaza.
Resolusi itu turut menggariskan supaya akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan dapat dilaksanakan segera ke seluruh wilayah itu.
Resolusi yang dikemukakan 10 negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan itu menerima sokongan 14 daripada 15 anggota, namun ditolak oleh AS yang merupakan anggota tetap dengan kuasa veto.
Pemangku Duta AS ke PBB, Dorothy Shea berkata Washington tidak akan menyokong sebarang langkah yang gagal mengutuk Hamas atau menuntut kumpulan itu melucutkan senjata dan berundur dari Gaza.“Resolusi ini akan menjejaskan usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata yang mencerminkan realiti di lapangan sebaliknya menguatkan kedudukan Hamas,” katanya sebelum undian dijalankan.
Israel sebelum ini menolak sebarang gencatan senjata tanpa syarat dengan menyatakan bahawa Hamas tidak boleh terus berada di Gaza.
Sejak gencatan senjata dua bulan berakhir pada Mac lalu, Israel telah melancarkan semula serangan ketenteraan bagi membebaskan tebusan dan menumpaskan Hamas.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, serangan udara Israel pada Rabu mengorbankan 45 rakyat Palestin, manakala tentera Israel melaporkan seorang anggotanya terbunuh dalam pertempuran.
Krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing, dengan lebih dua juta penduduk berdepan ancaman kebuluran dan bantuan hanya masuk secara terhad sejak sekatan selama 11 minggu ditamatkan pada 19 Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher menggesa agar semua lintasan sempadan dibuka dan sekatan terhadap kemasukan bantuan dihentikan.
“Buka semua lintasan. Benarkan bantuan menyelamatkan nyawa masuk dalam skala besar dari semua arah. Hentikan kelewatan dan penafian terhadap konvoi bantuan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sistem pengagihan bantuan baharu disokong AS dan Israel yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) turut dikritik kerana meminggirkan agensi kemanusiaan sedia ada.
GHF melaporkan telah mengagihkan lebih tujuh juta makanan sejak mula beroperasi minggu lalu, namun tiada bantuan diagihkan pada Rabu susulan insiden tembakan berhampiran pusat pengagihan.
Hospital tempatan melaporkan lebih 80 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam tempoh tiga hari, termasuk sekurang-kurangnya 27 orang pada Selasa.
Penduduk mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang beratur untuk mendapatkan makanan, namun tentera Israel menafikan dan menyatakan mereka hanya melepaskan tembakan amaran ke arah “suspek” yang menghampiri garisan pertahanan mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami