Visi komuniti berkongsi nasib termaktub dalam resolusi UNGA

Bernama
November 1, 2023 09:33 MYT
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan visi China itu termaktub dalam resolusi berkenaan selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2017. - Reuters
GENEVA: Visi komuniti berkongsi nasib sesama insan termaktub dalam resolusi yang diluluskan Jawatankuasa Pelucutan Senjata dan Keselamatan Antarabangsa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini, pada Selasa.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan visi China itu termaktub dalam resolusi berkenaan selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2017.
Resolusi yang diterima pakai dalam sesi ke-78 UNGA itu menekankan mengenai keperluan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan praktikal untuk mengelak perlumbaan senjata di ruang angkasa, menggalakkan penggunaan dan eksplorasi angkasa lepas bagi tujuan damai dan bersinergi membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Duta China bagi hal ehwal pelucutan senjata Shen Jian menyifatkan perkara itu mencerminkan aspirasi masyarakat antarabangsa untuk memelihara kedamaian dan keselamatan berkekalan di angkasa lepas.
"Dalam konteks penerokaan angkasa lepas, visi berkenaan dipraktikkan dengan tujuan mengekalkan keamanan, keselamatan, keterbukaan dan kerjasama di ruang angkasa.
"Selain itu ia juga menyasar untuk memastikan manfaat daripada keselamatan dan pembangunan angkasa lepas dinikmati seluruh umat manusia," kata beliau ketika berucap pada sesi itu.
-- BERNAMA
#Visi komuniti #resolusi #UNGA #pelucutan senjata #keselamatan antarabangsa