[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Volkswagen berbincang dengan kerajaan AS berhubung cukai import

Bernama 19/04/2025 | 09:15 MYT
Pengumuman tarif baharu oleh AS sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar kereta di Jerman dan Eropah secara umum. - Gambar/ Reuters
BERLIN: Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume berkata syarikat pengeluar kereta Jerman itu sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Amerika Syarikat berkenaan cukai import baharu terhadap kenderaan.
Dalam temu bual bersama akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ) yang diterbitkan pada Jumaat, Blume turut membayangkan kemungkinan pengeluaran model Audi di Amerika Syarikat, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Kami mempunyai strategi jangka panjang dengan pelbagai idea projek menarik yang disesuaikan khusus untuk pasaran AS.
"Kami sedang mengemukakan cadangan ini. Rundingan secara konstruktif dengan kerajaan AS sedang berlangsung," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa industri automotif boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada isu tarif.
"Tindakan paling berkesan ialah melabur di rantau-rantau utama, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjalin kerjasama," katanya.
Blume juga berkata Amerika Utara merupakan antara wilayah pertumbuhan paling penting bagi Kumpulan VW, dan menegaskan komitmen Volkswagen untuk menjadi pelabur serta rakan strategik yang boleh dipercayai di AS.
"Kami mahu terus berkembang. Jenama Volkswagen mempunyai banyak peluang dalam penawaran produknya.
"Bagi Audi, pengeluaran di AS akan menjadi satu langkah penting dalam strategi kami," jelasnya.
Pengumuman tarif baharu oleh AS sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar kereta di Jerman dan Eropah secara umum.
Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport terpenting bagi industri automotif Jerman.
Pada tahun lalu sahaja, jenama utama Volkswagen menjual hampir 380,000 kenderaan baharu di AS -- bersamaan lapan peratus daripada jumlah jualan global.
Model paling laris ialah SUV Atlas, yang hanya dipasarkan di Amerika Utara dan dihasilkan di kilang VW di Chattanooga, Tennessee.
-- BERNAMA
#perang tarif #tarif AS #Donald Trump #Volkswagen