Skip to main content

Dunia

Volkswagen jangka kurangkan 50,000 pekerjaan menjelang 2030

61748254981_volkswagenAG.jpg
Gergasi pengeluar kereta Jerman Kumpulan Volkswagen bersedia untuk mengurangkan 50,000 pekerjaan menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Blume pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu pada Khamis. - Gambar fail
Advertisement

WOLFSBURG (JERMAN): Gergasi pengeluar kereta Jerman Kumpulan Volkswagen bersedia untuk mengurangkan 50,000 pekerjaan menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Blume pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu pada Khamis.

Blume memberitahu pemegang saham dalam mesyuarat yang diadakan secara dalam talian bahawa keadaan Volkswagen kini “tegang dan mencabar”, sambil berkata keadaan dalam industri automotif semakin buruk pada 2026.

“Model perniagaan kami yang berjaya selama beberapa dekad tidak lagi berfungsi hari ini. Kami perlu membangunkannya lebih jauh,” katanya, lapor agensi berita Jerman dpa.

Ketua Pegawai Eksekutif itu menggariskan perkara utama strategi baharu syarikat menjelang 2030 yang diterbitkan pada Mei lalu.

Blume berkata sasaran Volkswagen adalah untuk menjadi “pengeluar kereta paling menarik di dunia” menjelang akhir dekad ini, dengan sasaran pulangan jualan antara lapan hingga 10 peratus.

Model baharu seperti kenderaan elektrik ID. Polo yang baru diperkenalkan menunjukkan jenama itu berada di landasan betul dan “kembali berada di hadapan persaingan”, katanya.

“Namun, kami tidak menjana keuntungan yang mencukupi daripadanya,” katanya.

Bagi jenama utama Volkswagen sahaja, sebanyak 35,000 pekerjaan akan dikurangkan menjelang 2030. Jumlah tenaga kerja dijangka berkurang sebanyak 19,000 orang menjelang akhir 2026, dengan kira-kira 28,000 pemberhentian secara sukarela dipersetujui, kata Blume.

Kos operasi kilang Volkswagen di Jerman turun lebih 20 peratus pada 2025, katanya.

Blume turut mengesahkan rancangan untuk mengurangkan lagi kapasiti pengeluaran kilang. Menjelang 2030, beliau mahu mengurangkan kapasiti kilang Volkswagen di Eropah sebanyak 500,000 kenderaan lagi, selain pengurangan sedia ada sebanyak 1 juta kenderaan menjelang 2028.

Jumlah pengurangan yang sama akan dilakukan di China, menjadikan keseluruhan pengurangan global kepada 1 juta kenderaan menjelang 2030.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement