Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Volkswagen teruskan pengeluaran minggu depan walau berdepan kekurangan cip

Bernama 24/10/2025 | 20:50 MYT
Christian menyatakan keyakinan bahawa penghentian pengeluaran masih boleh dielakkan. - Gambar fail/REUTERS
WOLFSBURG (Jerman): Pengeluar kereta Jerman, Volkswagen tidak merancang untuk menghentikan pengeluaran di kilangnya di Jerman minggu depan selepas timbul kebimbangan bahawa pengeluaran mungkin terpaksa dihentikan susulan krisis cip yang sedang berterusan di syarikat pembekal Nexperia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap syarikat itu pada Jumaat berkata kekangan bekalan yang dialami pengeluar cip Belanda, Nexperia ketika ini tidak memberi sebarang kesan terhadap pengeluaran di kilang pembuatan kenderaan Volkswagen di Jerman.

Setakat ini, pengeluaran di semua kilang lain Volkswagen Group di Jerman juga dijamin untuk minggu depan, termasuk bagi anak syarikatnya, Audi dan Porsche.

Kenyataan itu dibuat selepas Volkswagen pada Rabu mencadangkan kemungkinan untuk menghentikan pengeluaran pada bila-bila masa susulan gangguan bekalan.

Nexperia kini berdepan masalah bekalan selepas kerajaan Belanda mengambil alih kawalan ke atas syarikat itu, yang sebelum ini dimiliki oleh sebuah syarikat induk dari China.

Sebagai tindak balas, China telah menghentikan eksport produk Nexperia termasuk cip untuk industri automotif.

Terdahulu pada Jumaat, Menteri Ekonomi Jerman, Katherina Reiche, berkata Berlin telah menghubungi Menteri Perdagangan China bagi menggesa penyambungan semula eksport cip dalam usaha menyelesaikan kekurangan bekalan tersebut.

Ahli Lembaga Pengarah Volkswagen yang bertanggungjawab bagi Pengeluaran Jenama, Christian Vollmer, pada Khamis menyatakan keyakinan bahawa penghentian pengeluaran masih boleh dielakkan.

Beliau memberitahu akhbar perniagaan Handelsblatt bahawa syarikat itu sedang berunding dengan pembekal pengganti berpotensi yang boleh menampung kekurangan semikonduktor Nexperia.

Jurucakap syarikat itu menambah bahawa Volkswagen kini berhubung rapat dengan beberapa pembekal berpotensi.

-- BERNAMA



#semikonduktor #Volkswagen #gangguan bekalan #krisis cip