Wabak campak ragut 32 nyawa di timur laut Uganda

Dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 24 kes baharu campak dilaporkan di lima daerah, menjadikan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan kepada 505. - Gambar fail/REUTERS
KAMPALA: Jumlah kumulatif kematian akibat wabak campak di empat daerah di wilayah separa gersang timur laut Uganda meningkat kepada 32 sejak wabak itu diisytiharkan sebulan lepas, menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Dalam kemas kini situasi, kementerian melaporkan jumlah kumulatif 17 kematian kanak-kanak akibat penyakit itu di Napak, tujuh di Nakapiripirit, empat di Abim dan empat di Moroto.
Dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 24 kes baharu campak dilaporkan di lima daerah, menjadikan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan kepada 505.
"Aktiviti tindak balas di peringkat wilayah termasuk pengerahan pasukan EOC (pusat operasi kecemasan) dalam tempoh 72 jam bagi menjalankan siasatan menyeluruh wabak di semua daerah terjejas serta menyokong pengawasan aktif," menurut kementerian itu dalam laporan berkenaan.
Punca utama wabak yang dikenal pasti oleh kementerian termasuk tahap imuniti populasi terhadap campak yang rendah, kelewatan mengesan wabak, kegagalan mendapatkan vaksin, kelewatan mendapatkan rawatan kesihatan serta pengawasan aktif campak yang tidak mencukupi di kawasan terjejas.
Kempen vaksinasi campak yang menyasarkan penduduk berusia enam bulan hingga 15 tahun di daerah terjejas sedang dijalankan, menurut kementerian itu.
Tahun lepas, kementerian melaporkan wabak campak di 56 daerah di seluruh negara Afrika Timur itu.
Campak merupakan penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dan merebak melalui batuk serta bersin, menyebabkan penyakit serius. Gejala termasuk demam panas, batuk, hidung berair serta mata merah dan berair. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), gejala biasanya muncul kira-kira tujuh hingga 14 hari selepas jangkitan.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


