Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola di Congo catat 9,144 kes, 4,410 kematian

Wabak semasa amat sukar dikawal kerana tiada vaksin khusus atau rawatan bersasar untuk strain Bundibugyo. - Foto fail/REUTERS
Wabak semasa amat sukar dikawal kerana tiada vaksin khusus atau rawatan bersasar untuk strain Bundibugyo. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

CAPE TOWN: Ujian makmal mengesahkan sebanyak 9,144 kes Ebola dan 4,410 kematian dalam wabak semasa di Republik Demokratik Congo (DRC), menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) menyifatkan wabak yang bermula pada pertengahan Mei itu sebagai wabak Ebola yang merebak paling pantas dalam sejarah.

Awal bulan ini, kes pertama jangkitan virus Ebola strain Bundibugyo yang sangat mudah berjangkit disahkan di Kenya.

Pesakit berkenaan, yang meninggal dunia, dijangkiti penyakit itu di DRC sebelum melakukan perjalanan darat ke negara jiran Uganda dan kemudian menaiki pesawat ke Kenya.

Pihak berkuasa kesihatan Kenya sedang mengesan semua individu yang mempunyai kontak dengan lelaki itu sepanjang perjalanannya.

Wabak semasa amat sukar dikawal kerana tiada vaksin khusus atau rawatan bersasar untuk strain Bundibugyo.

Selain itu, jangkitan yang disebabkan oleh strain ini pada peringkat awal mudah disalah anggap sebagai penyakit lain seperti malaria. Keadaan ini boleh melambatkan proses pengasingan dan rawatan pesakit.

Ujian klinikal bagi dua pendekatan rawatan antivirus dijalankan sejak Julai.

Dua lagi ujian klinikal sedang dijalankan bagi mengkaji sama ada vaksin Ebola Ervebo turut memberikan perlindungan terhadap strain Bundibugyo.

Ervebo diluluskan dan disyorkan untuk digunakan semasa wabak yang berpunca daripada virus Ebola Zaire.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement