KINSHASA: Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) menunjukkan tanda-tanda awal untuk mereda namun kemunculan titik panas (hotspot) baharu merumitkan usaha tindak balas, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.
"Sejak dua minggu lepas, kita dapat melihat lengkungan (data wabak) mula menurun," kata Jean Kaseya, Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, dalam satu sidang media di Kinshasa.
Kaseya berkata pusat penularan wabak itu kini beransur beralih dari wilayah Ituri iaitu lokasi wabak tersebut dipercayai bermula di bahagian timur negara itu, ke Wilayah Kivu Utara yang berjiran dengannya.
Walaupun trend tersebut menunjukkan perkembangan positif, Kaseya menegaskan bahawa masih terdapat jurang ketara dalam aspek pemantauan penyakit dan pengesanan kontak, yang menyukarkan usaha memutuskan rantaian jangkitan.
Menurut data yang dibentangkan oleh Kaseya, komitmen antarabangsa untuk menyokong usaha menangani Ebola telah mencecah AS$3.045 bilion, meningkat daripada AS$1.656 bilion pada Jun, bagaimanapun, hanya AS$962.66 juta, atau 31.6 peratus daripada jumlah yang dijanjikan itu, telah disalurkan.
Kaseya turut menggesa ketelusan yang lebih tinggi dalam penggunaan dana tersebut.
Wabak yang diisytiharkan pada 15 Mei itu, yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo, merupakan wabak paling membawa maut pernah direkodkan di DRC dan wabak Ebola kedua terbesar di seluruh dunia, selepas epidemik yang melanda Afrika Barat antara 2014 dan 2016.
Menurut laporan epidemiologi terkini dikeluarkan pihak berkuasa kesihatap pada Rabu, DRC merekodkan 9,144 kes yang disahkan termasuk 4,410 kematian setakat 12 Okt, yakni mewakili kadar kematian kes sebanyak 48.2 peratus.
-- BERNAMA-XINHUA