DUNIA
Wakil China kecam serangan AS terhadap Iran
Menurut Fu, serangan AS terhadap tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan telah melanggar prinsip asas Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. -Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan kemudahan nuklear yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Ringkasan AI
- Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong, mengecam serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran, menyifatkannya sebagai pelanggaran Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa serta ancaman kepada kestabilan global.
- China menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan di Asia Barat dan menyeru Israel serta pihak terlibat agar menghentikan tindakan ketenteraan bagi mengelakkan konflik merebak.
- Fu menegaskan saluran diplomatik masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan China bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
Menurut Fu, serangan AS terhadap tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan telah melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, menceroboh kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Iran, sekali gus menambah ketegangan di rantau Asia Barat dan memberikan tempias teruk kepada sistem pengawalan nuklear antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB di sini, pada Ahad.
Fu Cong berkata, China menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat.
"Pihak-pihak terlibat, terutamanya Israel perlu menghentikan tindakan ketenteraan untuk mengelakkan situasi menjadi lebih meruncing atau peperangan merebak ke luar rantau berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa saluran diplomatik bagi penyelesaian isu nuklear Iran masih belum digunakan sepenuhnya, manakala penyelesaian secara damai masih ada kemungkinan.
Beliau menekankan, China bersedia berusaha bersama masyarakat antarabangsa, bersinergi dan mengangkat keadilan demi pemulihan kedamaian dan kestabilan di Asia Barat.
- BERNAMA-CMG