DUNIA

Wakil Malaysia cekal terus misi Global Sumud Flotilla ke Gaza walau berdepan cabaran

Ernalisa Othman 27/09/2025 | 06:12 MYT
PU Rahmat menjelaskan ada peserta Malaysia berdepan masalah kewangan, namun perkara itu tidak menjejaskan usaha melengkapkan misi GSF.
KUALA LUMPUR: Meskipun beberapa peserta antarabangsa menarik diri daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF), wakil Malaysia tetap teguh meneruskan pelayaran ke Gaza demi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terperangkap dalam kepungan rejim Israel.


Ringkasan AI
  • Wakil Malaysia meneruskan pelayaran ke Gaza meskipun beberapa peserta antarabangsa menarik diri, dengan semangat kekal utuh walaupun berdepan cabaran seperti kekangan kewangan, ancaman keselamatan dan serangan dron yang menyebabkan kerosakan kapal.
  • Latihan intensif di Sepanyol membekalkan peserta dengan kemahiran menyelamatkan diri dan memadam kebakaran, manakala insiden serangan di perairan Tunisia dan Greece memaksa kapal menjalani pembaikan serta menunda perjalanan.
  • PU Rahmat menegaskan tiada kapal menarik diri daripada misi, hanya individu tertentu, dan misi ini terus menjadi simbol solidariti masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang dizalimi.


Pendakwah muda, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, memaklumkan bahawa semangat pasukan Malaysia kekal utuh walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan dan ancaman keselamatan.

“Alhamdulillah, semangat kami masih kuat. Latihan intensif yang kami jalani di Sepanyol benar-benar membuahkan hasil. Kami juga telah dilengkapi dengan ilmu menyelamatkan diri dan memadam kebakaran sekiranya berlaku serangan,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Menurut beliau, keletihan dan kebosanan sering dirasai peserta, namun mereka terus berpegang kepada janji Allah SWT dan sabda Nabi Muhammad SAW sebagai sumber kekuatan.

Misi flotilla itu turut berdepan insiden serangan dua kali oleh dron ketika berada di perairan Tunisia, menyebabkan kerosakan pada kapal dan memaksa ia menjalani kerja pembaikan.

Polis tempatan telah membuka siasatan berhubung insiden tersebut.

Selepas pelabuhan Sidi Abou Said didapati tidak lagi selamat, kapal terpaksa dialihkan ke utara Tunisia, menyebabkan perjalanan tertunda sehari dan penghantaran bekalan makanan serta peralatan terganggu.

Keadaan bertambah sukar apabila laut bergelora memaksa kapal berhenti di sebuah pulau di Itali. Ketika meneruskan pelayaran, flotilla sekali lagi diserang lebih 10 dron dan terpaksa berlabuh di Greece untuk pembaikan lanjut.

Namun, PU Rahmat menegaskan bahawa tiada kapal yang menarik diri daripada misi seperti yang disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

“Hanya ada individu tertentu yang membuat keputusan untuk berundur, bukan keseluruhan kapal,” jelasnya.

Misi Global Sumud Flotilla ini merupakan antara usaha berterusan masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, untuk menyalurkan bantuan dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Gaza yang terus dizalimi.






#Global Sumud Flotilla #GSF #Malaysia #PU Rahmat