INTERNATIONAL

Wanita kebumi anak lelakinya selepas serangan udara Israel di Khan Younis

Agensi 18/05/2025 | 22:10 MYT
Saleh Zenati mengusung jenazah anak saudaranya yang masih bayi, Khalid Zenati, yang terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel, semasa upacara pengebumian di Khan Younis, Semenanjung Gaza, pada Ahad. - Gambar AP
KHAN YOUNIS: Seorang wanita mengebumikan anak lelakinya pada Ahad setelah terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah pelarian di al-Mawasi, Khan Younis, Gaza, malam tadi.

Feryal Tabasi memberitahu, dia dan anaknya, Ahmed sedang melayari internet sebelum kejadian dan anaknya meminta pulang ke rumah untuk makan dan tidur.

"Anak lelaki saya sedang tidur. Demi Tuhan, saya dan dia sedang melayari internet bersama-sama dan saya bertanya kepadanya, Ke mana kamu nak pergi, anakku?" Dia jawab, Ibu, saya nak balik rumah, makan dan tidur, kita tak ada roti. Saya kata kepadanya, tak, masih ada lima ketul roti, ambil satu, makan dan tidur. Dia makan dan minum.

"Anakku sayang, dia sudah tiada, Ahmed, cahaya mata saya, tempat saya bergantung, saya bersandar padanya untuk kekuatan. Saya selalu kata, Tuhan akan gantikan segalanya bila anak saya besar nanti, bila anak saya besar nanti," katanya penuh hiba.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan tersebut meragut puluhan nyawa dan mencederakan ramai lagi.

Dalam pada itu, Feryal Tabasi bersama penduduk Gaza lain hanya sempat mengadakan pengebumian ringkas di hadapan hospital serta mengucup insan tersayang buat kali terakhir melalui lapisan plastik yang menutupi jenazah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Ahad, sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza sepanjang malam akibat serangan udara Israel,

Ini berlaku ketika perunding antarabangsa sedang mengusahakan rundingan baharu gencatan senjata antara Israel dan Hamas. - Agensi





#Hamas #gencatan senjata #Khan Younis #serangan udara