XIANTAO: Air mata kegembiraan dan kelegaan mengiringi pertemuan semula dua beradik yang terpisah selama lebih tiga dekad, selepas seorang wanita berjaya menjejaki adiknya hanya menggunakan sekeping gambar lama.
Li Lin, 44, dari wilayah Hubei, akhirnya menemui adiknya, Li Xin yang hilang sejak kecil selepas diperdaya oleh seorang wanita tidak dikenali dengan hanya sepotong roti.
Advertisement
Kejadian tragis itu berlaku ketika mereka masih kanak-kanak dan hidup sebatang kara selepas kematian ibu akibat kanser, manakala bapa mereka dilaporkan mengalami gangguan mental sebelum menghilangkan diri.
Ketika berusia 11 tahun, Lin terpaksa menjaga adiknya yang berusia tujuh tahun dengan mengutip sisa makanan untuk hidup.
Suatu hari, ketika berteduh daripada hujan di belakang sebuah lori, mereka tertidur dan tanpa disedari telah dibawa ke bandar lain.
Dalam keadaan lapar dan sesat, seorang wanita warga emas menghampiri dan menawarkan untuk membeli roti kepada adiknya.
Lin yang menyangka bantuan telah tiba membenarkan adiknya pergi bersama wanita tersebut namun itulah kali terakhir mereka bersama.
“Saya hidup dengan rasa bersalah sepanjang hayat kerana adik saya hilang ketika dalam jagaan saya,” katanya.
Menurut Li Xin, dia cuba melarikan diri untuk mencari kakaknya, namun ditangkap, dipukul, dibiarkan kelaparan dan dikurung.
Dia akhirnya berjaya meloloskan diri dan hidup sebagai pengemis sebelum dibawa ke wilayah Guangdong yang mana dia diambil sebagai anak angkat dan diberi nama keluarga baharu, Han.
“Saya sentiasa percaya saya mempunyai seorang kakak dan tidak pernah berhenti mencarinya,” katanya.
Sementara itu, Lin menghabiskan 33 tahun hidupnya merantau ke seluruh China dan melakukan pelbagai kerja termasuk mengangkat batu bata, mencuci pinggan termasuk bekerja di kilang demi membiayai pencarian adiknya.
Satu-satunya petunjuk yang dimiliki hanyalah sekeping gambar lama.
Usahanya membuahkan hasil tahun ini apabila seorang pegawai polis di wilayah Jiangxi menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti seorang lelaki bermarga Han di Guangdong sebagai adiknya yang hilang.
Pertemuan semula mereka penuh emosi apabila Lin membawa roti sebagai simbolik, memberitahu bahawa dia mencarinya selama 33 tahun kerana kehilangan itu berpunca daripada seketul roti.
Xin yang sebak meminta kakaknya tidak menyalahkan diri, menegaskan dia tidak pernah berdendam.
Lin membawa adiknya pulang ke kampung halaman di Xiantao dengan sambutan meriah termasuk permaidani merah, mercun, kek hari jadi dan hidangan tangyuan, simbol penyatuan keluarga dalam budaya Cina.
Manakala Xin menyifatkan pertemuan semula itu sebagai anugerah terbesar dalam hidupnya, manakala Lin kini berharap dapat menjejaki bapa mereka dan memohon agar beliau pulang ke pangkuan keluarga. - Sinar Harian