Wanita tertua meninggal dunia pada usia 119 tahun

Astro Awani
April 25, 2022 23:45 MYT
Tanaka dilahirkan pada 2 Januari 1903, tahun yang sama adik-beradik Wright menerbangkan kapal terbang pertama dunia. - Foto Twitter/Guinness World Records
WANITA tertua di dunia, Kane Tanaka dilapor meninggal dunia pada usia 119 tahun.
Guinness World Records dalam kenyataan di laman web rasminya menyebut, Tanaka meninggal dunia pada 19 April lalu.
Sebelum ini Tanaka mengalami beberapa masalah kesihatan yang memaksanya "dikejarkan ke hospital beberapa kali", jelas ahli keluarganya dalam catatan di akaun Twitter seminggu sebelum mendiang meninggal dunia.
Menurut Guinness, Tanaka dilahirkan pada 2 Januari 1903, tahun yang sama adik-beradik Wright menerbangkan kapal terbang pertama dunia.
Pada Januari 1922, mendiang berkahwin dengan Hideo Tanaka dan pasangan tersebut dikurniakan lima orang anak.
Semasa Hideo berkhidmat sebagai anggota tentera ketika Perang Sino-Jepun Kedua, Tanaka membantu menjalankan perniagaan kedai makan keluarga suaminya.
Anak lelaki pertama pasangan ini, Nobuo ditahan tentera Soviet Union ketika Perang Dunia Kedua dan hanya dibebaskan pada 1947.
Dalam catatan di akaun rasmi Twitter, Guinness mengesahkan Tanaka merupakan individu kedua tertua dalam rekod.
"Mendiang menjadi individu tertua pada Januari 2019 berusia 116 tahun dan 28 hari.
"Mendiang juga merupakan individu kedua tertua dalam rekod di belakang Jeanne Calment yang meninggal dunia pada usia 122 tahun," katanya.

She became the oldest living person in January 2019 at the age of 116 years and 28 days. She is also the second oldest person ever recorded, behind only Jeanne Calment who lived to the age of 122. pic.twitter.com/DtWGvRpwcA

— Guinness World Records (@GWR) April 25, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketika ini individu tertua dunia adalah Sister Andre, seorang biarawati Perancis yang kini berusia 118 tahun dan 73 hari, kata Guinness.
Sister Andre juga merupakan individu tertua dunia yang pulih daripada jangkitan COVID-19.
#wanita tertua di dunia meninggal dunia #Kane Tanaka #usia 119 tahun #Guinness World Records