DUNIA

Waran tangkap terhadap bekas PM Korea Selatan dalam siasatan undang-undang tentera dimohon

Bernama 24/08/2025 | 16:02 MYT
Sebuah pasukan peguam khas memfailkan permohonan waran tangkap kepada mahkamah pada Ahad untuk menahan bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo. - Gambar fail/REUTERS
SEOUL: Sebuah pasukan peguam khas memfailkan permohonan waran tangkap kepada mahkamah pada Ahad untuk menahan bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo berhubung dakwaan penglibatannya dalam cubaan bekas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera yang gagal.


Ringkasan AI
  • Pasukan peguam khas memohon waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo atas enam pertuduhan jenayah.
  • Han didakwa terlibat membantu cubaan bekas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu.
  • Ini kali pertama dalam sejarah Korea Selatan waran tangkap dimohon terhadap bekas perdana menteri, dengan pendengaran mahkamah dijangka minggu ini.


Pasukan diketuai Peguam Khas Cho Eun-suk itu memfailkan permohonan berkenaan atas enam pertuduhan jenayah, termasuk dakwaan membantu usaha Yoon menguatkuasakan dekri undang-undang tentera pada 3 Disember tahun lepas, lapor agensi berita Yonhap.

Han didakwa tidak menghalang pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon ketika beliau memegang jawatan orang nombor dua kepada bekas presiden itu. Pasukan Cho mengesyaki Han bertindak sebagai sekutu utama dalam cubaan berkenaan.

Han juga disyaki terlibat dalam usaha Yoon merangka dan memusnahkan versi pindaan dekri berkenaan selepas undang-undang tentera ditamatkan. Beliau turut dituduh berbohong ketika memberi keterangan di Dewan Negara pada Februari lepas.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah perlembagaan Korea Selatan waran tangkap dimohon terhadap seorang bekas perdana menteri.

Satu pendengaran di mahkamah untuk meneliti permohonan waran itu dijangka berlangsung pada Selasa atau Rabu.

-- BERNAMA

#bekas Perdana Menteri Korea Selatan #waran tangkap #Han Duck-soo #undang-undang tentera