DUNIA

Warga Aceh hargai keprihatinan PM Anwar salurkan bantuan banjir

Seth Akmal 14/12/2025 | 07:30 MYT
Bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda pulau Sumatera, Indonesia, sejak dua minggu lalu telah meragut lebih 1,000 nyawa. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di wilayah Aceh. Indonesia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia di atas sumbangan yang dihulurkan selepas Sumatera Utara dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh pada 26 November.


Ringkasan AI
  • Bantuan dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan rakyat Malaysia memberi semangat kepada mangsa banjir di Sumatera Utara, Indonesia, untuk pulih daripada musibah banjir lumpur dan tanah runtuh.
  • Bantuan yang diterima termasuk ubat-ubatan, makanan, dan barangan asas, terutamanya kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan berstatus pengungsi selama hampir dua minggu.
  • Program Peduli Bencana Banjir siri-2 yang dilaksanakan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan MERCY Malaysia, serta bantuan dari badan bukan kerajaan Blue Sky Rescue (BSR) membantu mangsa banjir di Aceh Tamiang, yang merupakan antara kawasan yang paling terkesan.


Ketua Kampung Pante Lhong, Murizal K berkata bantuan tersebut dapat memberi semangat kepada mereka untuk bangkit semasa mengharungi musibah.

“Hari ini kami cuba bangkit, kami berusaha untuk kembali kuat dan tabah mengharungi dugaan ini. Bantuan ini telah mengembalikan semangat kami untuk kembali menjalani kehidupan dan meneruskan aktiviti harian,” katanya melalui kiriman video yang dirakamkan di Bireuen pada Ahad.

Menurutnya, antara bantuan yang diterima berupa ubat-ubatan, makanan dan keperluan barangan asas yang mustahak terutama dalam kalangan mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan masih berstatus ‘pengungsi’ selama hampir dua minggu.

Murizal turut memohon rakyat Malaysia terus mendoakan kepada para mangsa bencana agar diberi kekuatan dalam fasa pemulihan. - Astro AWANI


Pada masa sama, Murizal turut memohon rakyat Malaysia terus mendoakan kepada para mangsa bencana agar diberi kekuatan dalam fasa pemulihan.

“Kami juga memohon agar kami tidak dilupakan, kerana perjalanan untuk pulih daripada keadaan ini masih panjang,” katanya lagi.

Pada 11 Disember, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bersama MERCY Malaysia turut melaksanakan program Peduli Bencana Banjir siri-2 bagi membantu mangsa banjir di daerah Aceh Tamiang yang merupakan antara kawasan yang paling parah.

Antara barang bantuan yang diberikan merangkumi makanan, ubat-ubatan, barangan keperluan asas, kelengkapan solat serta barangan kebersihan diri kepada mangsa banjir.

Pada 10 Disember, Gabernor Aceh, Muzakir Manaf atau mesra disapa Mualem turut menyatakan pihak badan bukan kerajaan Blue Sky Rescue (BSR) telah menghulurkan bantuan kali kedua berupa bantuan perubatan sebanyak tiga tan untuk merawat mangsa banjir.

“Terima kasih banyak kepada BSR dari Kuala Lumpur yang telah membantu untuk kali kedua, mereka membantu kita khusus untuk rakyat Aceh yang terdampak,” kata Mualem semasa ditemui pemberita.

Untuk rekod BSR juga merupakan antara pasukan terawal dari luar negara yang tiba di Aceh pada 1 Disember.

Sebanyak 18 daripada 23 daerah terkesan akibat banjir besar dan beberapa kawasan masih lagi terputus hubungan sehingga laporan ini dikeluarkan.

Kerajaan Indonesia juga belum mengisytiharkan bencana yang berlaku itu sebagai Bencana Nasional.





#banjir #mangsa banjir #Aceh #Sumatera #Anwar Ibrahim #rakyat Malaysia