Seorang wanita warga Australia yang kini bertutur loghat Perancis selepas cedera di kepala lapan tahun lalu memberitahu pengalaman berkenaan menyebabkan dirinya kecewa dan lebih gemar memencilkan diri.

Leanne Rowe lahir dan membesar di selatan kepulauan Australia pernah terlibat dalam kemalangan kereta yang serius menyebabkan keretakan rahang dan tulang belakang.

"Apabila rahang saya dalam tempoh penyembuhan, ramai mendakwa pertuturan saya kurang jelas mungkin disebabkan pengambilan ubat yang banyak," jelas beliau petang semalam.

Setelah pulih sepenuhnya, Rowe mendapati dia kini bertutur dengan loghat Perancis yang agak ketara.

"Ia membuat saya kesal kerana saya orang Australia. Saya bukan orang Perancis malah saya tiada kaitan dengan mereka."

Keadaan itu benar-benar memberi impak kepada kehidupan Rowe dan anak perempuannya yang mewakili dirinya untuk bercakap.

"Saya suka waktu malam kerana ianya damai dan tidak ramai orang," ujar beliau.

Rowe tidak pernah menjalankan diagnosis namun doktor keluarganya Robert Newton memberitahu dia mungkin warga Australia kedua yang mengalami Sindrom Loghat Asing.

Hanya beberapa puluh orang di dunia sahaja dikesan menghidapi sindrom berkenaan sejak pertama ianya direkodkan pada 1907. Ia berkait rapat dengan kerosakan bahagian otak yang mengawal pertuturan.

Tiga tahun lalu, seorang wanita di England dilaporkan mula bercakap loghat Cina selepas menghidap migrain.