Seorang lelaki warga British mendakwa dia ditinggalkan dalam keadaan muflis apabila isterinya yang dicintainya menggunakan wang sejumlah £3.5 juta (RM19 juta) untuk berjudi.

Menurut laporan Metro.co.uk, Christopher Forte menemui isterinya, Julia Posman, seorang wanita warga Indonesia pada 2010 sebelum mengahwininya pada 2014.

Namun, setelah 'dibutakan' oleh cinta, lelaki itu tidak sedar mengenai hutang judi isterinya yang bertimbun sehingga dia turut meminjam duit ibu bapanya sebanyak £169,000 (RM921 ribu) bagi membantu isterinya sebelum mereka bercerai.

Di samping itu, Posman juga memberitahu yang dia mempunyai hutang berjumlah £2.5 juta (RM13.6 juta) dengan dua ahli perniagaan dan syarikat pertaruhan, selain hutang kad kredit.

Selain itu, isterinya mendakwa memerlukan duit untuk menunjukkan bahawa dia mempunyai aset sebanyak £5 juta (RM27 juta) bagi mendapatkan visa.

"Saya tak sedar, kerana dilamun cinta. Setiap kali bangun tidur, saya tengok dia menangis dan merayu meminta wang simpanan saya.

"Jika saya tanya pelbagai soalan, dia akan menuduh saya sudah tidak mempercayai dia," kata Forte.

Pada April 2016, lelaki itu menerima sepucuk surat yang mendedahkan dia dan rakan kongsi perniagaannya yang dikenali sebagai Kaye telah meminjamkan wang berjumlah £2.5 juta (RM13.6 juta) kepada isterinya.

Dia terkejut apabila mendapati namanya diletakkan sebagai penjamin pinjaman itu sedangkan dia tidak tahu apa-apa mengenainya.

Ketika itu, isterinya berada di Indonesia sehinggalah dia pulang semula ke London dan mengaku mengenai pinjaman itu.

Wanita berkenaan mendedahkan dia memberi sejumlah wang itu kepada abang dan ibubapanya untuk berjudi.

Sewaktu perbicaraan kes cerai mereka Ogos tahun lalu, wanita itu bersetuju untuk membayar hutang bekas suaminya dengan kadar £1,700 (RM9,240) sebulan.

Namun, sehingga kini dia tidak menjelaskan hutang itu menyebabkan bekas suaminya diisytiharkan muflis.

"Penyakit ketagihan judi ini sangatlah teruk kerana ia merosakkan keluarga," jelas Forte lagi.