INTERNATIONAL

Warga AS ditahan di India kerana masuk 'pulau larangan'

Bernama 05/04/2025 | 21:20 MYT
Mykhailo Viktorovych Polyakov, 24, dilaporkan mengatur sebuah bot boleh kembung untuk sampai ke kawasan larangan berkenaan. - Youtube @Neo-Orientalist
NEW DELHI: Pihak berkuasa keselamatan India menahan seorang warga Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan memasuki kawasan larangan iaitu sebuah pulau di selatan India yang didiami Orang Asli suku "Sentinelese", menurut seorang pegawai polis tempatan, lapor Xinhua.
Warga AS yang ditahan itu dikenali sebagai Mykhailo Viktorovych Polyakov, 24, yang dilaporkan mengatur sebuah bot boleh kembung untuk sampai ke kawasan larangan berkenaan.
Suku kaum itu setakat ini menentang keras sebarang percubaan pihak luar untuk menjalin hubungan dengan mereka.
Ini bukan kali pertama seorang warga AS cuba melawat kawasan larangan yang terletak di Kepulauan Andaman dan Nicobar itu. Pada 2018, seorang warga AS, John Allen Chau, turut memasuki kawasan itu sebelum dibunuh oleh suku kaum berkenaan. Mayatnya bagaimanapun gagal ditemui.
"Kami telah menahan seorang warga AS berusia 24 tahun, Mykhailo Viktorovych Polyakov kerana memasuki Pulau Sentinel Utara secara haram yang didiami suku kaum Sentinelese," kata Ketua Polis Kepulauan Andaman dan Nicobar, H.S. Dhaliwal
"Kami memandang serius kejadian ini dan sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kedutaan AS bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang," tambah Dhaliwal.
-- BERNAMA
#India #warga Amerika Syarikat #Orang Asli Sentinelese #ceroboh