Warga emas maut 'dibedah' pengawal keselamatan menyamar doktor

Astro Awani
Jun 8, 2021 03:50 MYT
Seorang wanita warga emas meninggal dunia setelah dibedah bekas pengawal keselamatan Hospital Mayo Lahore, India yang menyamar sebagai doktor. -Gambar fail
LAHORE: Seorang wanita warga emas meninggal dunia setelah dibedah bekas pengawal keselamatan Hospital Mayo Lahore, India yang menyamar sebagai doktor.
Shameema Begum, 80, meninggal pada Ahad, dua minggu selepas suspek Muhammad Waheed Butt cuba merawat luka di belakangnya.
Jurucakap hospital berkata mereka tidak pasti jenis pembedahan yang dilakukan Muhammad Waheed dan memberi alasan saiz hospital yang besar menyukarkan pemantauan.
"Kami tidak dapat mengikuti apa yang dilakukan setiap doktor dan apa yang dilakukan setiap orang setiap masa.
"Hospital ini besar,” kata pegawai pentadbiran hospital yang mahu namanya dirahsiakan.
Difahamkan keluarga Shameema membayar Muhammad Waheed untuk pembedahan itu, serta dua kali lawatan ke rumah bagi membalut luka.
Namun apabila pendarahan dan kesakitannya bertambah teruk, keluarga mangsa membawa Shameema kembali ke hospital.
Mayat Shameema ditahan untuk proses bedah siasat bagi memastikan sama ada kematiannya disebabkan oleh komplikasi pembedahan tersebut.
"Pengawal itu telah didakwa dan berada dalam tahanan polis," kata jurucakap polis Lahore, Ali Safdar.
Dia turut memaklumkan suspek pernah menyamar sebagai doktor dan melakukan kunjungan ke rumah pesakit lain tidak lama dahulu.
Kakitangan Hospital Mayo berkata Muhammad Waheed telah dipecat dua tahun lalu kerana cuba memeras ugut wang daripada pesakit.
#pengawal keselamatan #menyamar doktor #Shameema Begum #Muhammad Waheed Butt #peras ugut #Ali Safdar #bedah pesakit