Warga emas maut ditolak keluar bas

Agensi
Mei 16, 2019 14:44 MYT
Serge Fournier mengalami kecederaan teruk di kepala akibat tersembam di kawasan pejalan kaki selepas ditolak dari dalam bas. -Gambar hiasan
Seorang warga emas meninggal dunia setelah ditolak dari dalam bas oleh seorang wanita dalam kejadian di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Menurut laporan berita abcnews, mangsa Serge Fournier, 74, mengalami kecederaan teruk di kepala akibat tersembam di pejalan kaki selepas ditolak.
Rakaman video pengawasan yang dikeluarkan Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas mendapati suspek Cadesha Michelle Bishop, 25, sedang bertengkar dengan mangsa sebelum kejadian.
Menurut saksi, Fournier menasihatkan Bishop agar berkelakuan lebih baik dan sopan selepas dia dilihat memukul beberapa penumpang di dalam bas.
Selepas ditolak, Fournier pada mulanya enggan dirawat kerana beranggapan kecederaannya tidak parah.
Namun apabila kesihatannya semakin memburuk, dia dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan.
Fournier meninggal dunia sebulan kemudian akibat kecederaan di kepalanya.
Suspek Bishop ditahan di Pusat Tahanan Clark County dan bakal dibicarakan di mahkamah pada 23 Mei ini.
#Amerika Syarikat #bas #ditolak daripada bas #kecederaan di bahagian kepala #Las Vegas #mangsa #mati #meninggal dunia #polis #suspek #wanita tolak warga emas #warga emas