23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Warga Gaza hilang arah, serangan Israel berterusan walau pelan damai digerakkan

Agensi 05/10/2025 | 10:45 MYT
Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara dan artileri Israel. - Foto Reuters
GAZA: “Adakah kami perlu terus tinggal di jalanan? Kami tidak tahu,” luah Ahmed Assaf, salah seorang daripada ribuan warga Gaza yang dipindahkan secara paksa akibat kekejaman rejim Zionis Israel.


Ringkasan AI
  • Ribuan pelarian Gaza masih buntu mengenai masa depan mereka walaupun pelan damai Donald Trump digerakkan, dengan harapan dapat kembali ke tempat asal masing-masing.
  • Serangan Israel berterusan walaupun Trump gesa hentikan pengeboman, mengakibatkan sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dalam 24 jam terakhir.
  • Pelan damai Trump termasuk cadangan Hamas serah pentadbiran Gaza kepada teknokrat Palestin dan bebaskan tebusan Israel, namun isu pelucutan senjata Hamas tidak disentuh; lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023.


Penduduk yang tinggal di kawasan perkhemahan itu juga masih buntu memikirkan masa depan mereka, meskipun pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sedang digerakkan, lapor Reuters.

Menurut Ahmed, majoriti pelarian menerima keputusan pelan damai Trump dengan hati terbuka, dengan harapan menggunung mereka akan dapat kembali ke kampung halaman masing-masing.

“Malangnya, tiada tindakan nyata di lapangan. Kami tidak melihat sebarang perubahan terhadap keadaan, malah sebaliknya, kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Ya, kami telah menerima keputusan Trump bahawa semua pihak bersetuju dengan cadangan baharu itu, dan kami berasa gembira serta penuh harapan untuk kembali ke tempat asal kami,” ujarnya lagi.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, serangan tentera Israel masih berterusan di beberapa kawasan walaupun Presiden Trump pada Jumaat menggesa agar sebarang tindakan pengeboman ke atas Gaza dihentikan.

Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara dan artileri Israel.

Serangan tersebut berlaku ketika Mesir bersiap sedia menjadi tuan rumah rundingan melibatkan delegasi Hamas, Israel, Amerika Syarikat dan Qatar bagi membincangkan pelaksanaan usaha damai paling signifikan setakat ini untuk menghentikan konflik.

Trump sebelum ini mengumumkan bahawa Hamas telah memberikan maklum balas terhadap pelan damainya, termasuk kesediaan untuk menyerahkan pentadbiran Gaza kepada teknokrat Palestin dan membebaskan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.

Walau bagaimanapun, isu pelucutan senjata Hamas tidak disentuh dalam kenyataan tersebut.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menyatakan bahawa garis pengunduran telah dikongsi dengan Hamas dan gencatan senjata akan berkuat kuasa sebaik sahaja pengesahan diterima.

Beliau turut memuat naik peta Gaza yang menunjukkan kawalan Israel masih meliputi lebih separuh wilayah tersebut.

Pejabat Media Gaza menggesa pentadbiran Trump dan komuniti antarabangsa agar mengambil tindakan segera dan berkesan untuk menghentikan serangan Israel yang berterusan.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh, lebih 169,000 cedera, manakala ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan. -- Agensi





#Amerika Syarikat #Hamas #Israel #Gaza #pelan damai Trump #rakyat Palestin