Warga Palestin bantah kehadiran Mike Pence

APTN
Januari 21, 2018 22:39 MYT
Kumpulan penunjuk perasaan membakar gambar Naib Presiden AS, Mike Pence sebagai bantahan terhadap lawatannya ke Baitulmaqdis, semalam. - Foto Reuters
Warga Palestin berkumpul di Baitulmaqdis bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence yang mengadakan lawatan kerja ke wilayah itu.
Pence tiba di Baitulmaqdis pada petang Ahad bagi memulakan lawatan kerja dua harinya untuk bertemu dengan pegawai Israel.
Namun lawatannya itu menerima tentangan hebat daripada barisan pemimpin Palestin.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menerima kecaman hebat rakyat Palestin selepas mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember lepas.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas juga enggan mengadakan pertemuan dengan Pence kerana menganggap Amerika Syarikat tidak berkredibiliti dalam menyelesaikan perjanjian damai dengan Israel.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata tiada sebarang alternatif untuk menjadikan Amerika Syarikat sebagai orang tengah dalam menyelesaikan isu melibatkan Israel dan Palestin.
Lawatan Pence ini turut ditentang oleh parti utama Arab dalam Parlimen Israel.
#Benjamin Netanyahu #Israel #Mahmoud Abbas #Mike Pence #Palestin