DUNIA

Warisan bernilai jutaan, pencen diterima bekas kerabat diraja India hanya beberapa sen

Astro Awani 05/10/2025 | 22:15 MYT
Pada awal 1800-an, sebahagian kerabat Awadh memberi pinjaman kepada Syarikat Hindia Timur dengan syarat faedahnya dibayar dalam bentuk pencen kepada keluarga mereka. - Gambar hiasan ihsan tornosindia.com
HUSSAINABAD: Setiap bulan, Faiyaz Ali Khan, 90 tahun, akan berjalan perlahan-lahan ke Picture Gallery, sebuah bangunan bersejarah abad ke-19 yang menjadi peninggalan zaman kegemilangan diraja di utara India.

Dengan tangan menggigil, kehadiran beliau ke situ semata-mata untuk mengambil wasika - pencen diraja yang diwarisi turun-temurun.

Wasika berasal daripada perkataan Parsi yang bermaksud perjanjian bertulis, merupakan pencen yang diberikan kepada waris dan kerabat bekas pemerintah kerajaan Awadh.

Wilayah ini, kini sebahagian Uttar Pradesh, pernah diperintah oleh pemerintah Muslim bergelar Nawab sebelum ditakluk British pada tahun 1856.

Walaupun India tidak lagi mempunyai sistem beraja selepas merdeka dan tiada lagi gelaran atau imbuhan rasmi, beberapa pengaturan pencen tradisi masih kekal di negeri seperti Uttar Pradesh, Kerala dan Rajasthan.

Sejarawan Lucknow, Roshan Taqui menjelaskan, pada awal 1800-an, sebahagian kerabat Awadh memberi pinjaman kepada Syarikat Hindia Timur dengan syarat faedahnya dibayar dalam bentuk pencen kepada keluarga mereka.

Pinjaman itu bersifat kekal – tanpa perlu dipulangkan modal.

Namun, kuasa politik Nawab merosot apabila pengaruh British menguasai rantau tersebut.

Hari ini, sekitar 1,200 orang yang digelar wasikedars masih menerima pencen ini.

Jumlahnya sangat kecil – contohnya Faiyaz hanya memperoleh 9.70 rupee sebulan (sekitar 45 sen) – tetapi dianggap sebagai simbol maruah dan identiti keluarga.

“Walaupun hanya satu paisa, kami sanggup belanja ribuan untuk datang menuntutnya,” kata anaknya, Shikoh Azad.

Pengagihan wasika bermula pada tahun 1817 apabila Bahu Begum, isteri Nawab Shuja-ud-Daula, menyerahkan 40 juta rupee (RM1.9 juta) kepada Syarikat Hindia Timur dengan syarat warisnya menerima pencen bulanan.

Rekod rasmi menunjukkan beberapa kerabat lain turut membuat pinjaman serupa.

Selepas kemerdekaan India pada 1947, sebahagian dana ditempatkan di bank.

Menurut pegawai wasika Uttar Pradesh, kira-kira 2.6 juta rupee (RM123,000) masih tersimpan di bank tempatan dan faedahnya digunakan untuk membayar pencen.

Kini, pembayaran dibuat melalui dua saluran – Pejabat Wasika kerajaan negeri dan Hussainabad Trust. Ada yang dikreditkan terus ke akaun bank, manakala sebahagian masih dibayar tunai.

Namun, jumlahnya kian mengecil setiap generasi kerana dibahagikan antara waris.

Jika seorang penerima meninggal dunia dan mempunyai dua anak, pencennya dibahagi dua.

Penerima seperti peguam Shahid Ali Khan menegaskan, nilai wasika tidak boleh diukur dengan wang.

“Ini identiti kami, warisan yang tidak ternilai. Saya hanya gunakan wang itu untuk perbelanjaan keagamaan,” katanya.

Sebahagian penerima berpendapat jumlah pencen perlu disemak semula mengikut kadar faedah semasa, malah ada yang bercadang mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut bayaran dalam bentuk syiling perak – seperti asalnya.

Selain nilai wang, kemeriahan tradisi mengambil wasika juga semakin pudar.

Dahulu, hari pembayaran dianggap seperti pesta, dengan kereta kuda, gerai makanan, serta suasana seperti karnival di Picture Gallery.

“Sekarang semuanya sunyi. Yang tinggal hanyalah kenangan,” kata Faiyaz Ali Khan, yang masih berpegang pada warisan keluarganya walau sekadar menerima beberapa rupee sebulan. - BBC







#bekas kerabat diraja India #pencen diraja #wasika #Syarikat Hindia Timur #kuasa politik Nawab