awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pulau Pinang pulihkan dua projek RMKu terbengkalai tujuh tahun lepas
Bangladesh terima 14 pemerhati pilihan raya dari Malaysia
Malaysia dibelasah Afghanistan 7-0 di Piala Asia Futsal
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Wartawan Don Lemon ditahan berhubung liputan protes ICE di Minnesota

Agensi
Agensi
30/01/2026
22:40 MYT
Wartawan Don Lemon ditahan berhubung liputan protes ICE di Minnesota
Don Lemon yang pernah menjadi penyampai utama di CNN sebelum diberhentikan pada 2023 ditahan pihak berkuasa susulan liputannya terhadap protes berkaitan operasi imigresen kontroversi pentadbiran Presiden Donald Trump. - Gambar fail Reuters
MINNESOTA: Wartawan terkenal Amerika Syarikat (AS), Don Lemon, dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa susulan liputannya terhadap protes berkaitan operasi imigresen kontroversi pentadbiran Presiden Donald Trump di Minnesota.
Penahanan itu mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan kelompok kebebasan media di negara tersebut, yang melabel tindakan itu sebagai satu ancaman serius terhadap kebebasan akhbar.
Menurut peguamnya, Abbe Lowell, Lemon ditahan di Los Angeles pada Jumaat ketika sedang membuat liputan Anugerah Grammy.
Beliau berdepan tuduhan konspirasi dan mengganggu hak-hak yang dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS, berkaitan penyertaannya pada protes 18 Januari lalu, di mana sekumpulan penunjuk perasaan dilaporkan mengganggu satu upacara gereja di St Paul, Minnesota.
Lowell menegaskan, Lemon sekadar menjalankan tugas sebagai wartawan seperti yang telah dilakukannya sejak tiga dekad lalu.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai serangan terhadap kebebasan media dan berikrar untuk melawan kes tersebut habis-habisan di mahkamah.
Tindakan Jabatan Kehakiman dikecam
Peguam Negara AS, Pam Bondi mengesahkan penahanan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian tindakan terhadap apa yang digelar “serangan berkoordinasi” terhadap sebuah gereja di St Paul.
Tangkapan pada hari itu turut melibatkan wartawan bebas, Georgia Fort serta dua aktivis, Jamael Lydell Lundy dan Trahern Jeen Crews.
Sebelum ini, beberapa aktivis termasuk peguam hak sivil, Nekima Levy Armstrong turut ditahan berkaitan protes sama.
Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kecaman meluas daripada organisasi kebebasan media.
Freedom of the Press Foundation dalam satu kenyataan menyifatkan penahanan Lemon sebagai mesej jelas bahawa kerajaan kini sedang mencari peluang untuk menekan golongan wartawan.
National Press Club turut mengecam langkah tersebut, menyatakan bahawa menahan wartawan kerana melaporkan protes atau tindakan kerajaan merupakan ancaman besar kepada kebebasan media dan boleh menjejaskan usaha melaporkan isu-isu awam di seluruh negara.
Dalam liputan langsung yang disiarkan di platform dalam talian ketika protes berlangsung, Lemon berkali-kali menegaskan, beliau berada di lokasi sebagai wartawan, bukan aktivis.
Beliau dilihat mewawancara kedua-dua pihak - penunjuk perasaan serta pengunjung gereja dalam usaha memberikan gambaran seimbang mengenai situasi yang sedang berlaku.
Protes tersebut menyasarkan gereja berkenaan kerana pendetanya, David Easterwood turut berkhidmat sebagai ketua pejabat lapangan bagi Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE), agensi yang dikaitkan dengan operasi imigresen yang mencetuskan kontroversi.
Tindakan pantas Jabatan Kehakiman membuka siasatan terhadap protes gereja menimbulkan persoalan, terutamanya apabila ia sebelum ini enggan membuka siasatan hak sivil terhadap insiden melibatkan seorang ejen ICE yang menembak mati Renee Nicole Good pada 7 Januari.
Namun pada Jumaat, pihak jabatan mengumumkan pembukaan siasatan hak sivil terhadap insiden lain membabitkan kematian Alex Pretti pada 24 Januari oleh ejen kawalan sempadan di Minneapolis.
Penahanan Lemon pula berlaku hanya beberapa hari selepas seorang hakim persekutuan di Minnesota enggan menandatangani waran tangkap terhadap wartawan tersebut - satu tindakan luar biasa dalam sistem kehakiman. Namun pihak DOJ tetap bertegas akan meneruskan pendakwaan.
Don Lemon pernah menjadi penyampai utama di CNN sebelum diberhentikan pada 2023.
Sejak itu, beliau bergerak sebagai wartawan bebas dengan pengikut yang besar di platform digital.
Penahanan terbaru ini dianggap oleh banyak pihak sebagai titik baharu dalam hubungan tegang antara pentadbiran Trump dan media, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kebebasan bersuara dan keselamatan wartawan yang melakukan tugas di lapangan. - Agensi
Topic Berkaitan
#wartawan ditahan
#wartawan Don Lemon
#protes ICE
#Kebebasan Media
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan