DUNIA
Wartawan foto keempat maut dalam serangan Israel terhadap khemah media di Gaza

Pejabat Media Kerajaan di Gaza mengesahkan bahawa dengan kematian Qalja, jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt 2023, kini mencecah 226. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Seorang wartawan foto Palestin maut akibat kecederaan yang dialami selepas serangan udara Israel ke atas khemah media di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada Khamis, menjadikan angka wartawan yang terbunuh dalam satu serangan kepada empat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sumber perubatan pada Jumaat memaklumkan bahawa wartawan foto Ahmad Qalja meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas serangan dron membunuh tiga wartawan lain dan mencederakan empat lagi.
Pejabat Media Kerajaan di Gaza mengesahkan bahawa dengan kematian Qalja, jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt 2023, kini mencecah 226.
Angka itu termasuk 30 wartawan wanita dan seorang wartawan dari Tebing Barat yang diduduki.Serangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan" di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami