INTERNATIONAL
Wartawan Gaza yang tampil dalam dokumentari Cannes maut dalam serangan udara Israel
Pusat Perlindungan Wartawan Palestin (PJPC) dalam satu kenyataan menyifatkan serangan yang mengorbankan Fatima sebagai “jenayah” terhadap wartawan dan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa. - Gambar Instagram
GAZA: Wartawan dan pembikin dokumentari perang dari Gaza, Fatima Hassouna, yang telah mendokumentasikan konflik di wilayah itu selama 18 bulan, dilaporkan terbunuh bersama tujuh ahli keluarganya dalam serangan udara Israel minggu ini.
Fatima, yang juga menjadi subjek utama dalam dokumentari terbaharu berjudul Put Your Soul On Your Hand And Walk yang dijadual ditayangkan di Festival Filem Cannes bulan depan, sebelum ini pernah menulis di Instagram: “Jika aku mati, aku mahukan kematian yang bergema, bukan sekadar berita tergempar atau satu angka dalam statistik. Aku mahu kematian yang didengar dunia, kesan yang kekal sepanjang zaman dan imej abadi yang tidak luput oleh masa dan ruang.”
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza kepada media antarabangsa CNN, ibu bapa Fatima terselamat dalam serangan itu tetapi mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di unit rawatan rapi.
Pusat Perlindungan Wartawan Palestin (PJPC) dalam satu kenyataan menyifatkan serangan yang mengorbankan Fatima sebagai “jenayah” terhadap wartawan dan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.
PJPC berkata, rumah keluarga Fatima di Jalan Al-Nafaq, Bandar Gaza, menjadi sasaran serangan.
“Foto-foto Fatima yang penuh makna, merakamkan kehidupan di bawah kepungan, telah diterbitkan secara meluas dan membuka mata dunia terhadap kesengsaraan rakyat Gaza,” kata pusat itu.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan berkata, serangan itu menyasarkan “seorang anggota pengganas Briged Bandar Gaza Hamas” dan mendakwa telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Namun, tiada perincian lanjut diberikan.
“Saya sedang duduk apabila dua roket jatuh, satu di sebelah saya dan satu lagi di ruang tamu. Rumah runtuh menimpa kami - semuanya hancur,” kata sepupu Fatima, Hamza Hassouna bercerita mengenai kejadian yang menimpa keluarganya.
Fatima yang aktif di media sosial, mempunyai lebih 35,000 pengikut di Facebook dan Instagram banyak memuat naik gambar kehidupan harian rakyat Gaza dan ancaman berterusan serangan udara Israel.
Dokumentari arahan pengarah Iran, Sepideh Farsi, menggambarkan Fatima sebagai "tingkap yang dibuka melalui pertemuan ajaib" untuk melihat pembunuhan berterusan ke atas rakyat Palestin.
Filem itu telah terpilih untuk tayangan dalam segmen ACID di Festival Filem Cannes ke-78 pada Mei 2025.
Farsi dalam satu hantaran di media sosial pada Jumaat memuat naik gambar terakhirnya bersama Fatima yang sedang tersenyum.
“Gambar terakhir saya bersama dia adalah senyumannya. Hari ini, saya berpaut pada itu,” tulis Farsi.
Pengarah itu memberitahu CNN, beliau dan Fatima telah bekerja bersama selama lebih setahun dan mereka amat rapat.
Perbualan terakhir mereka ialah sehari sebelum Fatima terbunuh – apabila Farsi menyampaikan berita gembira mengenai dokumentari mereka dan perancangan untuk ke Perancis.
“Saya fikir itu satu kesilapan apabila mendengar berita kematiannya,” kata Farsi.
“Saya harap dokumentari ini dapat memperkenalkan dunia kepada kisah hidup Fatima di Gaza dan menjadi penghormatan kepada ingatannya.”
Menurut PJPC, jumlah wartawan yang terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini mencecah 212 orang - angka tertinggi dalam sejarah, menurut beberapa pertubuhan kewartawanan antarabangsa.
Pusat itu menggesa siasatan segera oleh komuniti antarabangsa dan tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab.
Jiran Fatima, Um Aed Ajur, menyatakan Fatima sangat berbangga dengan tugasnya.
Beliau turut mempersoalkan serangan ke atas rumah itu, menegaskan keluarganya “tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan.”
Hantaran terakhir Fatima di Facebook adalah siri gambar nelayan Gaza di tepi laut Sabtu lalu – hanya beberapa hari sebelum kematiannya.
Dalam kapsyen ringkas, beliau menulis:
“Dari sini kau mengenal kota ini. Kau masuk ke dalamnya, tetapi kau tidak akan keluar, kerana kau takkan pergi dan memang kau tak boleh.” - Agensi