DUNIA

Wartawan Palestin suarakan derita rakyat Gaza

Bernama 26/07/2025 | 10:55 MYT
Wujud ketidakseimbangan serius dalam naratif global mengenai situasi di Gaza, disebabkan liputan media antarabangsa yang terhad. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Wartawan Palestin Younus Abdel Hamid Abu Jarad mungkin berada jauh beribu batu dari Gaza, namun beban penderitaan tanah air tetap menyelubungi dirinya.


Ringkasan AI
  • Wartawan Palestin Younus Abdel Hamid Abu Jarad yang berpangkalan di Istanbul terus menyampaikan kisah penderitaan rakyat Gaza melalui laporan dan foto yang dikongsi rakan-rakannya, meskipun berada jauh dari tanah air dan tidak membuat liputan secara langsung.
  • Younus menekankan wujudnya ketidakseimbangan dalam naratif global akibat dominasi media pro-Israel, serta menyuarakan penghargaan terhadap sokongan Malaysia yang dianggap menonjol berbanding negara Islam lain, namun menyifatkan tindakan negara Arab masih belum memadai.
  • Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penjajahan berterusan di Baitulmuqaddis, khususnya Masjid Al-Aqsa, dan menyeru umat Islam bertindak segera sambil meneruskan usaha meningkatkan kesedaran global melalui pertubuhannya "Trustee of Al-Aqsa".


Berpangkalan di Istanbul, Turkiye, Younus yang berusia 43 tahun menjadikan kesedihan sebagai pendorong untuk terus berkarya, menyampaikan kisah-kisah menyayat hati dan foto yang dikongsi rakan-rakannya di Gaza dalam usaha melaporkan penderitaan yang sedang berlaku.

Melalui laporan yang dikongsikan, beliau menjadi suara kepada golongan tertindas dan membawa perjuangan mereka ke perhatian dunia dengan semangat yang tidak pernah luntur.

"Sukar untuk tidak berasa emosi apabila menyaksikan penderitaan orang lain.

"Walaupun saya tidak berada di lapangan membuat liputan, saya tetap sedih apabila melihat gambar dan mendengar cerita yang dikongsikan kepada saya.

"Sejak beberapa hari lalu, orang ramai rebah akibat kelaparan.

"Ada yang meninggal dunia kerana kebuluran selepas bantuan kemanusiaan disekat oleh tentera Israel," katanya dalam pertemuan khas bersama delegasi aktivis Palestin yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini baru-baru ini.

Younus menjelaskan bahawa maklumat yang diterima datang daripada rakan yang dipercayai dan masih berada di Gaza, meskipun berdepan kekangan sumber dan situasi lapangan yang mencabar.

"Rakyat Palestin sudah tidak punya kehidupan yang sebenar, namun mereka masih bertahan dengan secebis harapan semata-mata untuk terus hidup dan mengharungi pembunuhan beramai-ramai ini," kata Younus, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik serta Sarjana Sejarah Moden dari Universiti Islam Gaza.

Beliau turut menegaskan wujud ketidakseimbangan serius dalam naratif global mengenai situasi di Gaza, disebabkan liputan media antarabangsa yang terhad.

Sebagai aktivis media, Younus menjelaskan bahawa kekuatan rangkaian media pro-Israel sering membayangi suara rakyat Palestin, sekali gus memesongkan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap konflik yang berlaku.

Sehingga kini, lebih 230 wartawan yang membuat liputan secara langsung terbunuh sejak 7 Okt 2023.

Mengulas mengenai pendirian Malaysia, Younus berkata sokongan yang diberikan sangat dihargai dan menonjol berbanding kebanyakan negara Islam lain.

Berhubung peranan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menyokong perjuangan Palestin, beliau mengakui sumbangan mereka penting tetapi belum mencukupi untuk memberi tekanan kepada kerajaan Israel agar menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

Younus turut menyifatkan tahap solidariti dalam kalangan negara Arab masih sangat rendah disebabkan kekangan demokrasi yang menghalang rakyat daripada menyuarakan sokongan secara bebas terhadap isu Palestin.

Terdapat 22 negara Arab dan 57 negara Islam, namun usaha mereka masih belum memadai untuk memberi tekanan berkesan ke atas Israel, katanya.

"Jika negara-negara Arab bertindak menutup kedutaan Israel di negara masing-masing secara serta-merta, ia akan menjadi satu isyarat yang kuat dan meningkatkan tekanan ke atas pihak penjajah," katanya.

Dalam pada itu, Younus turut menyuarakan kebimbangan terhadap penjajahan berterusan di Baitulmuqaddis, khususnya membabitkan Masjid Al-Aqsa yang menurutnya kini berada dalam keadaan paling kritikal sejak penjajahan bermula.

Beliau menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bertindak sebelum Israel menguasai sepenuhnya kawasan suci itu.

Younus menegaskan bahawa beliau akan terus berusaha meningkatkan kesedaran global mengenai situasi di Gaza melalui pertubuhannya "Trustee of Al-Aqsa", serta menggerakkan tindakan segera dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

-- BERNAMA


#Genosid Gaza #kekejaman israel #wartawan Palestin #angka korban