[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Wartawan AS tidak sengaja dimasukkan ke kumpulan sembang bincang rancangan serang Yaman

Bernama 25/03/2025 | 10:12 MYT
Seorang wartawan mengetahui rancangan serangan udara terhadap kumpulan Houthi di Yaman dua jam sebelum operasi dilancarkan. - Gambar hiasan/AP
WASHINGTON: Pegawai kanan keselamatan negara Amerika Syarikat (AS) dipercayai memasukkan seorang wartawan terkenal ke dalam kumpulan sembang aplikasi pemesejan Signal yang membincangkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan Houthi di Yaman, menyebabkan beliau mengetahui rancangan serangan udara itu dua jam sebelum operasi dilancarkan, lapor Xinhua.
Jeffrey Goldberg, Ketua Pengarang The Atlantic memperincikan kejadian itu dalam artikel yang disiarkan di laman sesawang majalah berkenaan pada Isnin.
Goldberg berkata pada 11 Mac, beliau menerima permintaan sambungan pada aplikasi pemesejan Signal daripada pengguna bernama Michael Waltz - nama yang sama dengan Penasihat Keselamatan Negara AS.
Namun, Goldberg pada masa itu tidak pasti sama ada ia akaun sebenar pegawai berkenaan.
Dua hari kemudian, beliau menerima pemberitahuan bahawa beliau akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang bernama "Houthi PC Small Group."
Satu mesej dalam kumpulan itu daripada "Michael Waltz" berbunyi: "Pasukan - menubuhkan kumpulan prinsip untuk penyelarasan mengenai Houthi, terutamanya dalam tempoh 72 jam akan datang," tulis Goldberg.
Beliau berkata istilah "principals committee" secara amnya merujuk kepada kumpulan pegawai keselamatan negara tertinggi, termasuk Setiausaha Pertahanan, Setiausaha Negara dan Setiausaha Perbendaharaan, serta Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Goldberg berkata beliau pada awalnya meragui kesahihan kumpulan sembang itu kerana sukar mempercayai bahawa kepimpinan keselamatan negara AS akan membincangkan rancangan perang yang bakal dilaksanakan menerusi Signal.
Beliau juga tidak percaya Penasihat Keselamatan Negara presiden akan bertindak begitu melulu dengan memasukkan Ketua Pengarang The Atlantic dalam perbincangan bersama pegawai kanan AS, termasuk Naib Presiden JD Vance.
Namun, apabila perbincangan berlanjutan, beliau mula merasakan ia sangat meyakinkan.
"Apa yang saya boleh katakan, bagi menggambarkan betapa teruknya kecuaian dalam perbualan Signal ini ialah mesej Hegseth mengandungi butiran operasi serangan yang bakal dilancarkan ke Yaman, termasuk maklumat mengenai sasaran, senjata yang akan digunakan, dan urutan serangan," kata Goldberg, merujuk kepada Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth.
Selepas serangan udara berlaku tepat seperti yang dinyatakan dalam kumpulan sembang itu, Goldberg menghubungi beberapa pegawai AS dalam kumpulan berkenaan untuk mengesahkan sama ada perbualan itu sahih serta bertanya mengapa beliau dimasukkan ke dalamnya, selain beberapa soalan lain yang berkaitan.
"Ini nampaknya rantaian mesej yang sahih, dan kami sedang menyiasat bagaimana nombor itu boleh dimasukkan secara tidak sengaja," jawab Brian Hughes, jurucakap Majlis Keselamatan Negara.
Presiden AS Donald Trump ketika ditanya media di Rumah Putih pada Isnin berkata beliau tidak mengetahui insiden itu.
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt dalam satu kenyataan berkata: "Presiden Trump terus menaruh keyakinan penuh terhadap pasukan keselamatan negaranya, termasuk Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz."
Ketika ditanya media mengenai perkara itu, Hegseth berkata, "Tiada sesiapa yang menghantar mesej mengenai rancangan perang. Itu sahaja yang saya boleh katakan mengenainya."
Setiausaha pertahanan itu juga mengecam Goldberg, dengan menyifatkannya sebagai "seorang pembohong dan seorang 'wartawan' yang kononnya berwibawa, tetapi berulang kali menyebarkan penipuan."
Insiden itu mencetuskan kebimbangan serius serta kritikan hebat. "Jika benar, laporan ini merupakan antara kegagalan keselamatan operasi dan kewarasan yang paling teruk pernah saya saksikan," kata Jack Reed, wakil Demokrat tertinggi dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#serangan #Yaman #kumpulan WhatsApp #wartawan #The Atlantic #Jeffrey Goldberg