DUNIA

Washington Post umum pemberhentian satu pertiga tenaga kerja, kurangkan liputan

Astro Awani 04/02/2026 | 23:20 MYT
Trafik dalam talian akhbar itu merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini susulan ledakan penggunaan kecerdasan buatan. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Akhbar Amerika Syarikat (AS), The Washington Post, mengumumkan pemberhentian kira-kira satu pertiga tenaga kerjanya, sekali gus mengurangkan secara ketara liputan berita sukan, tempatan dan antarabangsa.

Langkah yang diumumkan pada Rabu itu menjejaskan kakitangan merentasi beberapa jabatan dan menjadi perubahan besar terbaharu bagi akhbar berkenaan yang dimiliki jutawan Jeff Bezos, pengasas Amazon.

Ketua Pengarang Eksekutif, Matt Murray, berkata langkah itu bertujuan mewujudkan kestabilan organisasi, namun menerima kecaman daripada kakitangan serta beberapa bekas pemimpin akhbar itu.

“Berita hari ini amat menyakitkan. Ini tindakan sukar, namun jika mahu terus berkembang, kami perlu menstruktur semula kewartawanan dan model perniagaan,” katanya dalam memo kepada kakitangan.

Menurut Murray, trafik dalam talian akhbar itu merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini susulan ledakan penggunaan kecerdasan buatan dan pendekatan editorial yang dianggap masih berteraskan model lama.

Dalam kenyataan berasingan, Washington Post Guild menyifatkan pemberhentian pekerja hanya akan melemahkan organisasi serta menjejaskan misi akhbar berkenaan.

Bekas editor The Washington Post, Marty Baron, pula menyifatkan keputusan itu sebagai antara detik paling suram dalam sejarah organisasi berita tersebut.

Pemberhentian terbaharu itu berlaku ketika akhbar berkenaan berdepan masalah kewangan dan penurunan pelanggan, berbeza dengan pesaingnya, The New York Times, yang melaporkan pertambahan kira-kira 450,000 pelanggan digital pada suku terakhir 2025.





#Washington Post #pemberhentian #kestabilan organisasi #liputan berita