Waspadalah terhadap ancaman COVID-19 walaupun ia bukan lagi darurat kesihatan global

Astro Awani
Mei 8, 2023 22:15 MYT
WHO berpandangan penduduk dunia masih perlu menguruskan COVID-19 sebagai ancaman berterusan terhadap kesihatan. - Foto fail/REUTERS
GENEVA: Penduduk dunia perlu kekal waspada dengan COVID-19, kerana ia masih memberi ancaman biarpun tidak lagi diisytihar sebagai darurat kesihatan global.
Pengumuman itu, menurut jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukan bermakna pandemik COVID-19 sudah berakhir.
Menurut Margaret Harris, penduduk dunia tidak boleh salah anggap berkaitan ancaman COVID-19.
"Apa yang dimaksudkan adalah fasa akut bagi kecemasan sudah berakhir. Adalah penting untuk memahami, ia tidak bermakna COVID-19 tidak lagi memberi ancaman.
"COVID-19 masih satu ancaman kepada kesihatan manusia di seluruh dunia," katanya.
Jelas beliau, pelbagai usaha dilaksanakan sebelum ini membantu meningkatkan tahap imuniti dalam populasi di dunia.
Ia antara sebab COVID-19 bukan lagi dalam fasa akut.
Namun, WHO berpandangan penduduk dunia masih perlu menguruskan COVID-19 sebagai ancaman berterusan terhadap kesihatan.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus Jumaat lalu isytihar darurat kecemasan global ke atas COVID-19 ditamatkan.
Setakat 3 Mei, terdapat sejumlah 765 juta kes COVID-19 di seluruh dunia, dengan 6.9 juta orang maut akibat virus itu.
#COVID-19 #darurat kesihatan global #WHO #ancaman