WEF 2026: Trump gugurkan ancaman tarif berkaitan Greenland selepas rundingan NATO

Trump menghadiri majlis resepsi bersama pemimpin perniagaan sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahunan ke-56 di Davos, Switzerland. - Foto REUTERS
DAVOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengumumkan bahawa beliau menarik balik ancaman untuk mengenakan tarif ke atas beberapa negara Eropah berhubung isu Greenland, selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung NATO di sela-sela Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.
Ringkasan AI
- Trump capai persetujuan rangka kerja dengan NATO mengenai Greenland dan keselamatan Artik.
- Ancaman tarif terhadap Denmark dan negara Eropah lain digugurkan.
- Pasaran global positif, risiko geopolitik dan perdagangan dilihat menurun.
Ancaman tersebut mencetuskan reaksi keras daripada pemimpin Eropah serta menimbulkan ketegangan dalam pakatan ketenteraan itu.
Dalam ucapannya di Davos, Trump menegaskan bahawa beliau tidak akan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan wilayah autonomi Denmark itu, sambil menekankan bahawa AS mahu menyelesaikan isu tersebut melalui rundingan.
Beliau turut menyifatkan persetujuan dengan NATO sebagai asas kepada perjanjian masa depan berkaitan keselamatan dan kestabilan di rantau Artik, menurut laporan AP.
Walaupun butiran perjanjian itu tidak didedahkan, langkah Trump menggugurkan ancaman tarif dilihat sebagai usaha meredakan ketidaktentuan pasaran dan memulihkan hubungan dengan sekutu NATO, yang sebelum ini bimbang terhadap pendekatan agresif Washington dalam isu Greenland.
Pasaran kewangan global bertindak positif susulan pengumuman itu, dengan pelabur melihat perkembangan tersebut sebagai tanda penurunan risiko geopolitik dan perdagangan dalam jangka terdekat.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

