PERDANA MENTERI Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan, Amerika Syarikat perlu berhenti melihat China sebagai musuh mereka sebaliknya cuba untuk menjalinkan kerjasama.

Tegasnya, sekiranya kedua-dua negara tidak dapat bekerjasama, ia bukan sahaja akan menjejaskan negara tersebut malah negara lain turut terkena tempiasnya.

"Sekiranya anda melihat China sebagai ancaman, itu akan menjadi masalah yang sangat besar kerana bila anggap ia sebagai ancaman, kesukaran itu akan berterusan untuk jangka masa panjang.

"China tidak akan tumbang seperti mana yang berlaku kepada Soviet Union. Melihat China sebagai masalah ketika anda juga harus membina hubungan dengannya, anda akan ada fasa tidak bersetuju lebih-lebih lagi berkaitan hak asasi manusia tetapi anda tetap perlu bekerjasama dengannya.

"Kalau tidak dapat bekerjasama, bukan saja masalah tidak selesai malah ia akan menjejaskan negara lain juga," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Davos Agenda Week 2021 anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada Jumaat. 

Tambahnya, hubungan yang tegang antara Amerika Syarikat dan China sejak beberapa tahun lepas juga menimbulkan kegusaran kepada dunia.

"Trend yang paling membimbangkan sekarang adalah hubungan AS dan China. Hubungan ini kekal menjadi hubungan dua hala yang penting buat dunia.

"AS sekarang melihat China sebagai musuh strategik mereka dan pencabar kepada kedudukan negara itu dan China pula masih lagi mengenal pasti peranan mereka dalam dunia.

"Masih belum terlewat buat kedua-dua negara kembali menjernihkan hubungan yang keruh sejak kebelakangan ini," ujarnya. 

Bahkan, beliau optimis dengan pentadbiran baru AS, konflik kedua-dua negara itu mungkin dapat diperbaiki.

Dalam pada itu, Hsien Loong berkata, semua negara dalam dunia perlu bersatu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan COVID-19, perubahan iklim dan pemulihan ekonomi.

Begitupun, beliau mengakui bukannya tugas mudah untuk menyatukan semua negara untuk satu matlamat yang sama.

"Negara-negara besar selalu bertelagah dan bersaing satu sama lain untuk mendapatkan pengaruh dan kekuasaan.

"Tetapi mereka dalam masa sama juga perlu bekerjasama antara satu sama lain melalui peraturan dan norma yang telah ditetapkan dan diterima mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada kita semua. Sama ada ia pandemik, kerjasama ekonomi atau perubahan iklim.

"Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan perselisihan dan ketidakpercayaan daripada usaha meningkatkan kerjasama dan pembinaan kepercayaan di antara kuasa besar," tegasnya lagi.