DUNIA

WEF2026: Prabowo jemput bakat antarabangsa, posisikan Indonesia ‘equal partner’ dunia

Irfan Faruqi 22/01/2026 | 15:18 MYT
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 pada Khamis. - fotoAstro AWANI
KUALA LUMPUR: Indonesia sebagai sebuah negara yang aman dan stabil serta memiliki dana berdaulat sehingga AS$1 trilion, kini terbuka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dalam pelbagai bidang ekonomi, kata Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.


Ringkasan AI
  • Indonesia membuka kerjasama ekonomi global melalui dana berdaulat Danantara bernilai AS$1 trilion serta rasionalisasi lebih 1,000 syarikat berkaitan kerajaan.
  • Prabowo menekankan pembaharuan domestik termasuk peningkatan sara diri makanan, pemerkasaan program makanan percuma dan penghapusan birokrasi tidak efisien.
  • Pentadbirannya memperhebat tindakan antirasuah, merampas tanah dan melucutkan lesen syarikat yang melanggar undang-undang, sambil mempromosi Indonesia sebagai pasaran stabil dan kompetitif.


“Selain keamanan dan kestabilan, pertumbuhan memerlukan tadbir urus negara dan modal; khususnya peruntukan dana secara efisien dan peruntukan semula modal.

“Oleh itu, Februari lalu, kami tubuhkan dana berdaulat tersendiri; Danantara Indonesia (Danantara). Danantara ialah dana berdaulat dengan aset diurus bernilai AS$1 trilion.

“Dengan Danantara saya boleh berdiri depan anda sebagai rakan kongsi setara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pidato khas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di Davos-Klosters, Switzerland pada Khamis.


WEF2026: Pidato Prabowo jemput bakat antarabangsa, posisikan indonesia sebagai ‘equal partner’ dunia

Dalam ucapan sama juga Prabowo secara terbuka membuka pasaran bakat Indonesia kepada bakat global untuk mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang diuruskan oleh Danantara yang ketika ini berjumlah 1,044 buah organisasi.

“Kami akan mengurangkan bilangan itu kepada tidak lebih 300. Kami akan rasionalisasikan, hapuskan aspek yang tidak efisien dan kami mahu pentadbiran serta pengurusan terbaik berdasarkan standard antarabangsa.

“Saya telah benarkan Danantara untuk lantik ekspatriat dan warganegara asing untuk mengetuai syarikat-syarikat ini. Kami mahu bakat dan minda terbaik di dunia,” jelasnya.

Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, Prabowo membentangkan pencapaian-pencapaian pentadbiran sepanjang tahun lalu, termasuk usaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) sumber makanan termasuk beras, jagung, gula dan sumber protein. Beliau turut menyorot tindakan pemerintah menghapuskan birokrasi serta peraturan-peraturan yang menghambat kecekapan.

Menyentuh mengenai program makanan percuma, Presiden Indonesia itu menyasarkan penyediaan 82.9 juta hidangan sehari pada tahun ini.

“Hari ini, selepas setahun, kami capai 21,102 dapur yang menyediakan makanan di seluruh negara. Setakat semalam, kami telah menyediakan 59.8 juta hidangan untuk 59.8 juta kanak-kanak, golongan ibu dan warga emas. Mereka terima hidangan ini setiap hari.

“Untuk konteks, dalam tempoh sebulan akan datang, kami akan mengatasi McDonald’s yang menyediakan 68 juta hidangan sehari. Tahun ini kami sasarkan untuk menyediakan 82.9 juta hidangan sehari,” ujarnya lagi.

Namun kenyataan tersebut dibayangi pendedahan Reuters pada September mengenai insiden keracunan makanan melibatkan hampir 6,000 orang sejak program itu dilancarkan berikutan kelemahan mekanisme pemantauan.

Selain itu, Prabowo juga memberikan tumpuan khusus mengenai keupayaan pentadbirannya memerangi rasuah dalam negara. Dalam beberapa bahagian berbeza ucapannya, beliau mengulangi ketegasaan kerajaan Indonesia memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan.

“Kami bertekad untuk lawan korupsi. Ia mencabar. Tidak ramai yang percaya kami mampu lakukannya. Kami tidak ada pilihan. Saya tidak ada pilihan. Saya telah angkat sumpah untuk mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam tempoh seminggu dalam pentadbiran, kami telah dedahkan salah tadbir urus bahan api dan minyak mentah. Dalam semua sektor ekonomi, kami jumpa amalan salah tadbir,” katanya.

Menurut pemimpin utama republik itu, dalam tempoh setahun, 4 juta hektar tanah ladang dan lombong yang terlibat aktiviti melanggar undang-undang telah dirampas.

Malah melalui mesyuarat jemaah menteri dipengerusikan Prabowo dari London pada Selasa bersetuju untuk melucutkan lesen 28 syarikat yang mengusahakan 1.01 juta hektar tanah di kawasan yang dilindungi.

“Saya tidak panggil (amalan) ini sebagai perusahaan atau pasaran bebas. Sebaliknya, secara terbuka saya rujuk amalan ini sebagai ‘greedynomics’ atau ekonomi tamak,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, ucapan Prabowo memberi indikasi bahawa republik itu sedia untuk membuka pasaran serta peluang ekonomi kepada pemain antarabangsa dalam pelbagai bidang, terutamanya ekonomi baharu.

Tumpuan ucapan kepada isu-isu domestik Indonesia, berbanding merujuk kepada senario global itu turut memberi gambaran bahawa Prabowo ingin meyakinkan khalayak mengenai keupayaan Indonesia bertindak sebagai pasaran alternatif di tengah-tengah ketidaktentuan global, serta persekitaran domestik yang telus, berdaya saing dan mesra perniagaan.

WEF 2026 berlangsung sehingga 23 Januari dengan tema ‘Semangat Dialog’ turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Presiden Peranci, Emmanuel Macron; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen; Setiausaha Agung Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte; dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.

Sejak forum ini bermula pada Isnin, pelbagai kenyataan dan reaksi balas daripada Trump dan sekutu negara-negara barat mengenai kedudukan Greenland, termasuk kemungkinan kenaikan tarif oleh AS yang menajamkan lagi ketidaktentuan ekonomi global.


[LIVE] #WEF2026: Special Address by Prabowo Subianto, President of Indonesia | 22 Jan 2026

#Donald Trump #NATO #Prabowo Subianto #Rasuah #Indonesia #WEF26 #perdagangan #Danantara Indonesia