DUNIA

WhatsApp nafi tuduhan Iran, bimbang sekatan semakin meluas

Astro Awani 18/06/2025 | 03:50 MYT
WhatsApp menafikan dakwaan media kerajaan Iran bahawa ia menyalurkan maklumat pengguna kepada Israel. -Gambar fail/Sinar Harian
SACRAMENTO: WhatsApp menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan oleh media kerajaan Iran yang menggesa rakyat negara itu memadamkan aplikasi permesejan tersebut daripada telefon pintar mereka.


Ringkasan AI
  • WhatsApp menafikan dakwaan media kerajaan Iran bahawa ia menyalurkan maklumat pengguna kepada Israel, dan menyuarakan kebimbangan terhadap gesaan agar rakyat Iran memadamkan aplikasi tersebut.
  • WhatsApp menegaskan bahawa ia tidak menjejak lokasi, tidak menyimpan log komunikasi, dan tidak mempunyai akses kepada mesej pengguna kerana sistem penyulitan hujung ke hujung.
  • Walaupun pernah disekat, WhatsApp kekal popular di Iran dan ramai pengguna masih mengaksesnya menggunakan VPN.


Dalam kenyataan disiarkan Selasa, WhatsApp yang dimiliki oleh syarikat Meta, menegaskan bahawa tuduhan penyaluran maklumat pengguna kepada Israel adalah tidak benar dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat perkhidmatan aplikasi itu pada ketika rakyat Iran amat memerlukannya.

“Kami tidak menjejak lokasi tepat anda, tidak menyimpan log siapa yang anda hubungi, dan tidak menjejak mesej peribadi yang dihantar antara pengguna,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa pihaknya tidak memberikan maklumat secara pukal kepada mana-mana kerajaan.

Aplikasi itu turut menjelaskan bahawa ia menggunakan sistem penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption), yang memastikan hanya penghantar dan penerima dapat membaca mesej yang dihantar, manakala pihak ketiga termasuk WhatsApp sendiri tidak mempunyai akses kepada kandungan mesej tersebut.

Iran sebelum ini pernah menyekat akses kepada WhatsApp dan beberapa platform media sosial lain, namun ramai pengguna di negara itu menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk mengakses aplikasi tersebut.

WhatsApp kekal sebagai salah satu aplikasi pemesejan paling popular di Iran selain Instagram dan Telegram.







#WhatsApp #Konflik Iran-Israel #Meta #penyulitan hujung ke hujung