DUNIA

White House halang wartawan Wall Street Journal sertai lawatan Trump ke Scotland susulan laporan berkaitan Epstein

Agensi 22/07/2025 | 01:40 MYT
White House pimpinan Presiden Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyekat akhbar Wall Street Journal (WSJ) daripada menyertai rombongan media rasmi ke Scotland. - Gambar fail
WASHINGTON: White House pimpinan Presiden Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyekat akhbar Wall Street Journal (WSJ) daripada menyertai rombongan media rasmi ke Scotland, dipercayai sebagai tindak balas terhadap laporan terkini akhbar itu yang mengaitkan beliau dengan tokoh pedofilia, Jeffrey Epstein.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, langkah itu diambil kerana “kelakuan palsu dan memfitnah” WSJ, merujuk kepada laporan bertarikh 17 Julai yang mendakwa wujud surat dan lukisan berbentuk seksual — kononnya dihantar kepada Epstein sempena ulang tahun ke-50 individu itu pada 2003 — yang dikaitkan dengan Trump.

Trump bertindak memfailkan saman keesokan harinya, menafikan kewujudan sebarang surat atau lukisan sedemikian dan menuduh WSJ melakukan fitnah.

“Presiden Trump tidak akan memberikan layanan istimewa kepada mana-mana organisasi media yang menyebarkan maklumat palsu dan berniat jahat,” kata Leavitt dalam kenyataan media.

Seorang wartawan WSJ yang dijadualkan menyertai rombongan ke padang golf peribadi Trump di Scotland - dan tidak terlibat dengan laporan Epstein itu turut terkesan dengan keputusan tersebut.

Sehingga awal tahun ini, penentuan giliran media dalam press pool (kumpulan kecil wartawan yang mengikuti pergerakan Presiden) dikendalikan oleh Persatuan Wartawan White House (WHCA), sebuah badan bebas yang mewakili media.

Namun pada Februari lalu, Leavitt mengubah polisi dan mengambil alih kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan press pool, sekali gus memberi kuasa penuh kepada pentadbiran Trump untuk menentukan akses media.

Kumpulan press pool lazimnya terdiri daripada segelintir wartawan yang dibenarkan mengikuti Presiden dalam acara rasmi seperti lawatan luar negara, sesi taklimat di Air Force One dan acara tertutup seperti sesi fotografi di Oval Office.

Langkah mengecualikan WSJ ini berlaku selepas insiden serupa melibatkan agensi berita Associated Press (AP), berikutan laporan agensi itu yang enggan menuruti arahan Trump menukar rujukan “Gulf of Mexico” kepada “Gulf of America.”

“Seperti yang ditegaskan oleh mahkamah rayuan, tiada mana-mana organisasi media yang dijamin akses istimewa ke pejabat Presiden, pesawat Air Force One, atau ruang kerja peribadi beliau,” tegas Leavitt.

Menurutnya, sebanyak 13 organisasi media pelbagai latar belakang akan mengikuti lawatan Presiden ke Scotland, namun Wall Street Journal bukan salah satu daripadanya.

White House bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai media mana yang akan menggantikan tempat WSJ.

Wall Street Journal memilih untuk tidak memberikan komen rasmi berhubung tindakan balas itu.

Namun minggu lalu, jurucakap mereka menyatakan bahawa pihak editorial tetap yakin terhadap ketepatan dan kewibawaan laporan mereka, serta bersedia mempertahankan diri dalam tindakan undang-undang.

Presiden WHCA, Weijia Jiang dalam kenyataannya menyifatkan tindakan White House itu sebagai sangat membimbangkan dan bertentangan dengan Perlembagaan Amerika Syarikat.

“Cubaan kerajaan untuk menghukum organisasi media kerana kandungan laporan mereka harus menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan bersuara dan peranan media bebas dalam demokrasi,” katanya.

Beliau turut mendesak agar White House mengembalikan WSJ ke posisi asal mereka dalam press pool dan membenarkan akses ke pesawat rasmi Presiden sempena lawatan ke Scotland.

Beberapa organisasi kebebasan media turut menyuarakan bantahan. Pengarah advokasi Freedom of the Press Foundation, Seth Stern berkata, “Adalah tidak berperlembagaan — malah bersifat pendendam — untuk Presiden menyekat akses media hanya kerana tidak menyukai sesuatu laporan.”

“Namun mungkin ini juga ruang kepada wartawan WSJ untuk menggunakan masa mereka bagi menyiasat perkara yang lebih penting - termasuk kaitan Trump dengan Epstein dan cara beliau menekan kebebasan media,” tambah Stern. - Agensi


#White House #Donald Trump #lawatan Trump #Wall Street Journal #Jeffrey Epstein