[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

White House tuntut siasatan insiden eskalator, teleprompter semasa lawatan Trump ke UNGA

Astro Awani 24/09/2025 | 07:31 MYT
Siasatan awal mendapati sistem keselamatan terbina dalam telah diaktifkan secara tidak sengaja oleh videografer presiden yang berjalan secara mengundur untuk merakam ketibaan pasangan itu. -Foto AP
NEW YORK: Dua insiden teknikal melibatkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa beliau menghadiri sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mencetuskan sedikit ketegangan diplomatik apabila White House menuntut siasatan penuh terhadap punca kejadian.


Ringkasan AI
  • Dua insiden teknikal melibatkan eskalator dan teleprompter semasa ketibaan dan ucapan Presiden Donald Trump di UNGA ke-80 mencetuskan ketegangan diplomatik kecil.
  • White House menuntut siasatan penuh terhadap insiden eskalator yang dihentikan secara tidak sengaja oleh videografer presiden, manakala PBB menegaskan teleprompter dikendalikan sepenuhnya oleh pihak AS.
  • Trump menyindir PBB dalam ucapannya susulan insiden tersebut, yang berlaku dalam konteks hubungan tegang antara Washington dan badan dunia itu.


Menurut kenyataan rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), eskalator yang digunakan oleh Trump dan isterinya, Melania, berhenti secara tiba-tiba sejurus mereka melangkah masuk ke bangunan PBB pada 23 September.

Siasatan awal mendapati sistem keselamatan terbina dalam telah diaktifkan secara tidak sengaja oleh videografer presiden yang berjalan secara mengundur untuk merakam ketibaan pasangan itu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menjelaskan bahawa mekanisme keselamatan pada comb step eskalator direka untuk menghentikan operasi sekiranya terdapat objek atau individu yang berisiko terperangkap dalam sistem gear.

“Videografer mungkin telah mencetuskan fungsi keselamatan tersebut secara tidak sengaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, White House mengambil pendekatan lebih serius. Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt, berkata sekiranya insiden itu disengajakan oleh mana-mana kakitangan PBB, tindakan tegas perlu diambil.

“Jika benar ada individu yang cuba menjatuhkan presiden secara fizikal, mereka perlu bertanggungjawab,” katanya dalam temu bual bersama Fox News.

Insiden kedua berlaku semasa permulaan ucapan Trump di hadapan 193 negara anggota apabila teleprompter gagal berfungsi.

Trump berseloroh, “Siapa pun yang kendalikan teleprompter ini, dia berdepan masalah besar,” sebelum meneruskan ucapan tanpa bantuan skrip digital.

PBB menegaskan bahawa teleprompter presiden dikendalikan sepenuhnya oleh pihak White House dan bukan oleh sistem teknikal UNGA.

Presiden UNGA, Annalena Baerbock, turut menyatakan bahawa teleprompter PBB berfungsi dengan sempurna selepas ucapan Trump berakhir.

Kedua-dua insiden berlaku dalam suasana hubungan tegang di antara Washington dan PBB susulan pemotongan dana serta kritikan berterusan Trump terhadap badan dunia itu.

Dalam ucapannya, Trump menyindir, “Satu-satunya perkara yang saya dapat daripada PBB ialah eskalator dan teleprompter rosak.”





#Donald Trump #eskalator dan teleprompter #UNGA #White House dan PBB