DUNIA
WHO beri amaran kes COVID-19 meningkat akibat varian baharu
Menurut WHO, varian baharu tidak timbulkan risiko kesihatan yang lebih besar, namun evolusi berterusan virus ini boleh cetus gelombang jangkitan baharu. - Reuters
WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai peningkatan jangkitan COVID-19 yang dikaitkan dengan kemunculan varian baharu, NB.1.8.1, yang kini sedang disiasat, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Walaupun organisasi itu mengesahkan yang varian baharu ini tidak menimbulkan risiko kesihatan yang lebih besar berbanding varian terdahulu, WHO menegaskan yang evolusi berterusan virus ini boleh mencetuskan gelombang jangkitan yang baharu.
Menurut WHO, peningkatan semasa selari dengan corak bermusim virus dan menekankan keperluan untuk kemasukan ke hospital atau unit rawatan rapi masih rendah berikutan tahap imuniti komuniti yang meluas serta liputan vaksinasi yang tinggi.
Badan kesihatan global itu mengklasifikasikan tahap risiko global secara keseluruhan sebagai "tinggi", dan menggesa setiap negara memperkukuh pemantauan kesihatan, mengintegrasikan COVID-19 ke dalam strategi penyakit pernafasan bermusim, membanteras maklumat palsu dan menggalakkan individu untuk terus mematuhi langkah pencegahan.
-- BERNAMA