Skip to main content

Dunia

WHO beri amaran wabak Ebola di DR Congo mengatasi keupayaan tindak balas

FILE PHOTO: Director-General of the World Health Organisation (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus attends an ACANU briefing in Geneva, Switzerland, April 29, 2026. REUTERS/Denis Balibouse/File Photo
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata konflik bersenjata yang masih berterusan, keadaan tidak selamat serta penolakan oleh komuniti tempatan menjejaskan akses ke kawasan terjejas dan mengehadkan keberkesanan operasi tindak balas. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

KINSHASA: Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) telah melepasi 2,100 kes disahkan dan kekal sebagai wabak Ebola yang paling pantas merebak pernah direkodkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, lapor Xinhua.

Ketika berucap pada sidang media di Geneva, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata konflik bersenjata yang masih berterusan, keadaan tidak selamat serta penolakan oleh komuniti tempatan menjejaskan akses ke kawasan terjejas dan mengehadkan keberkesanan operasi tindak balas.

Beliau memberi amaran bahawa kadar penularan wabak terus mengatasi usaha tindak balas meskipun terdapat kemajuan ketara dalam aspek pengawasan, rawatan dan penyelidikan.

"Walaupun kita telah mencapai kemajuan, wabak Ebola di DR Congo terus mengatasi keupayaan tindak balas," kata Tedros sambil memaklumkan bahawa sebuah pusat rawatan di wilayah Ituri, yang menjadi pusat penularan wabak, telah diserang awal minggu ini.

Menurut laporan situasi terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan DR Congo pada Khamis, negara itu merekodkan 2,124 kes disahkan, termasuk 828 kematian.

Wabak yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo itu kini telah merebak ke lima wilayah, iaitu Ituri, Kivu Utara, Kivu Selatan, Haut-Uele dan Tshopo.

Wilayah Ituri menyumbang hampir 90 peratus daripada keseluruhan kes disahkan. Laporan itu turut memaklumkan bahawa kes pertama yang disahkan di zon kesihatan sempadan Mahagi meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan rentas sempadan ke negara jiran, Uganda.

Tedros berkata Khamis menandakan genap dua bulan sejak kerajaan DR Congo secara rasmi mengisytiharkan wabak itu pada 15 Mei. Dalam tempoh itu, penularan berkembang daripada kelompok setempat di timur laut DR Congo kepada wabak Ebola ketiga terbesar yang pernah direkodkan.

"Dalam tempoh sebulan lalu, wabak ini berkembang lebih pantas berbanding mana-mana wabak Ebola sebelum ini," katanya.

Beliau berkata penularan yang sangat aktif di Ituri kekal menjadi kebimbangan utama. Lebih 80 peratus kes baharu yang dikesan tidak mempunyai kaitan dengan senarai kontak yang dikenal pasti, menunjukkan masih terdapat rantaian penularan yang belum dikesan. Kira-kira dua pertiga daripada kematian berlaku dalam komuniti sebelum pesakit sempat mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Pada masa sama, kapasiti tindak balas terus dipertingkatkan. Kapasiti rawatan kini melebihi 800 katil, manakala infrastruktur makmal berkembang daripada hanya sebuah makmal ketika wabak bermula kepada 16 makmal di kawasan terjejas, menurut WHO.

Laporan situasi DR Congo menunjukkan seramai 725 pesakit ditempatkan di pusat pengasingan atau dimasukkan ke hospital setakat 15 Julai, manakala 390 lagi telah pulih. Secara keseluruhan, kadar penggunaan katil mencecah 85.6 peratus, namun beberapa pusat rawatan di Ituri dan Kivu Utara masih mengalami kesesakan yang serius.

Percubaan klinikal yang disokong WHO, dikenali sebagai PARTNERS, dilancarkan di DR Congo pada 2 Julai bagi menilai keberkesanan rawatan terhadap pesakit yang telah dijangkiti. Kajian itu menilai antibodi monoklonal MBP134 dan ubat antivirus remdesivir, sama ada secara berasingan atau digabungkan.

Calon vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford mula diuji pada Isnin, manakala satu lagi kajian yang diketuai Institut Penyelidikan Bioperubatan Kebangsaan DR Congo bermula pada Selasa bagi menguji ubat antivirus obeldesivir sebagai profilaksis selepas pendedahan dalam kalangan kontak berisiko tinggi, kata Tedros.

Ketua Pengarah WHO itu turut merayu agar lebih banyak sokongan antarabangsa disalurkan, sambil memberi amaran bahawa Pelan Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Benua Bersama WHO-Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) masih berdepan kekurangan dana melebihi US$400 juta.

"Ini bukan amal kebajikan. Ini adalah pelaburan demi keselamatan negara," katanya.

Sementara itu, wabak Ebola di Uganda yang dikaitkan dengan penularan rentas sempadan kini menghampiri penghujungnya. Tedros berkata pesakit Ebola terakhir yang disahkan di negara itu dibenarkan keluar daripada rawatan pada Khamis, sekali gus memulakan tempoh pemantauan selama 42 hari yang diperlukan sebelum sesuatu wabak boleh diisytiharkan berakhir secara rasmi. Uganda merekodkan 20 kes disahkan, termasuk dua kematian, dalam kejadian wabak semasa.

Bagaimanapun, laporan DR Congo menyatakan pergerakan penduduk, keadaan tidak selamat, aktiviti perlombongan berskala kecil serta pergerakan rentas sempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan terus menyumbang kepada penularan wabak.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement