Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

WHO kurangkan 600 pekerjaan di Ibu Pejabat Geneva pada 2025

Bernama 25/08/2025 | 23:00 MYT
Bajet dwitahunan kami bagi 2026-2027 telah dikurangkan sebanyak 21 peratus daripada AS$5.3 bilion kepada AS$4.2 bilion, kata Tedros pada Persidangan Jawatankuasa Serantau WHO ke-75 bagi Afrika, di Lusaka, Zambia, pada Ahad. - Gambar fail/AP
LUSAKA (Zambia): Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengurangkan 600 pekerjaan di ibu pejabatnya di Geneva pada 2025 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi bagi penjimatan kos, kata Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.


Ringkasan AI
  • WHO akan kurangkan 600 pekerjaan di ibu pejabat Geneva pada 2025 bagi penjimatan kos, susulan bajet dipotong 21 peratus.
  • Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata langkah itu termasuk penyusunan semula jawatan dan pengurangan perjalanan.
  • Presiden Zambia Hakainde Hichilema menyeru pengukuhan diplomasi kesihatan manakala Africa CDC gesa pembiayaan domestik untuk kurangkan kebergantungan bantuan luar.


Beliau berkata langkah itu dibuat susulan perubahan besar dalam sumbangan penderma global terhadap kesihatan, dengan langkah lain termasuk penyusunan semula jawatan peringkat pengarah serta pengurangan perjalanan, yang dijangka menjimatkan AS$190 juta tahun ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Bajet dwitahunan kami bagi 2026-2027 telah dikurangkan sebanyak 21 peratus daripada AS$5.3 bilion kepada AS$4.2 bilion.

"Kami juga telah memperkenalkan skim persaraan awal dan sukarela sebagai usaha memastikan organisasi ini kekal relevan dan memberi tumpuan kepada mandat teras kami untuk menyediakan keselamatan kesihatan global," katanya.

Tedros berkata demikian di Lusaka pada perasmian Persidangan Jawatankuasa Serantau WHO ke-75 bagi Afrika, yang dihadiri menteri kesihatan serta delegasi dari 47 negara Afrika.

Presiden Zambia Hakainde Hichilema yang merasmikan persidangan tiga hari itu menyeru pengukuhan diplomasi kesihatan bagi membantu benua berkenaan bertindak balas secara berkesan terhadap risiko yang dibawa oleh geopolitik, konflik dan perubahan iklim.

"Kita perlu memperkukuh diplomasi kesihatan untuk menangani isu kesihatan tidak terjamin melalui pendekatan satu kesihatan," katanya.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) Jean Kaseya pula berkata import farmaseutikal mengakibatkan kerugian tahunan sebanyak AS$240 bilion kepada benua itu, dan menggesa mekanisme pembiayaan domestik mampan daripada negara anggota untuk mengurangkan kebergantungan kepada bantuan luar.

Menteri Kesihatan Zambia Elijah Muchima dan Menteri Kesihatan Liberia Louise Kpoto turut menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan itu, serta Hichilema turut menganugerahkan pingat kehormatan negara kepada Tedros dan Kaseya atas sumbangan mereka terhadap keselamatan kesihatan benua dan global.

-- BERNAMA





#kurangkan pekerjaan #Tedros Adhanom Ghebreyesus #penstrukturan semula operasi #WHO