Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain yang diketuai Costa Rica pada Jumaat melancarkan inisiatif global yang membolehkan perkongsian data dan pengetahuan saintifik dalam memerangi COVID-19.

Presiden Costa Rica, Carlos Alvarado menggariskan 'repositori teknologi' di seluruh dunia untuk vaksin, ubat-ubatan dan diagnostik dalam usaha meningkatkan solidariti dan menggesa lebih banyak negara bergabung dalam Perkhidmatan Akses Teknologi COVID-19.

Usaha kolektif itu menawarkan platform untuk berkongsi secara terbuka dan sukarela dalam data serta harta intelektual yang akan dihasilkan seluruh dunia untuk kebaikan global.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus berkata peralatan, ujian dan rawatan COVID-19 perlu diberikan akses kepada semua orang di seluruh dunia.

"Melalui C-Tap. Kami menjemput syarikat atau kerajaan yang membangunkan rawatan yang berkesan untuk memberikan sumbangan paten kepada kepada kumpulan paten ubat-ubatan yang kemudian akan memberikan sub-lesen paten itu kepada pengeluar generik.

"C-Tap bersifat sukarela dan berdasarkan kejayaan kumpulan paten ubatan dalam memperluaskan akses rawatan untuk HIV dan Hepatitis C.

"WHO menyedari peranan penting yang dimainkan oleh paten dalam mendorong inovasi, tetapi ini adalah masa di mana manusia perlu diutamakan.

"Alat untuk mencegah, mengesan dan merawat COVID-19 adalah untuk kebaikan awam global yang perlu diakses oleh semua orang," kata Dr Tedros.

Setakat ini, sebanyak 35 negara telah menandatangani inisiatif tersebut.