Skip to main content

Dunia

WHO lulus rawatan malaria pertama untuk bayi

51660782615_WHO.jpg
WHO mengesyorkan penggunaan kelambu insektisid bagi bayi dan orang dewasa bagi mencegah gigitan nyamuk.

GENEVA: , 25 April (Bernama-dpa) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat kali pertama menilai dan meluluskan ubat malaria untuk bayi, kata pegawai pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Versi gabungan ubat artemether-lumefantrine itu disesuaikan khusus untuk bayi baru lahir dan bayi dengan berat sehingga lima kilogram, menurut WHO menjelang Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April.

Advertisement

Ubat itu boleh membantu merapatkan jurang dalam penjagaan kesihatan bagi kira-kira 30 juta bayi yang dilahirkan setiap tahun di kawasan endemik malaria di seluruh Afrika.

Setakat ini, ramai dirawat menggunakan dos yang ditetapkan untuk kanak-kanak lebih besar, yang boleh membawa risiko kesan sampingan.

WHO mengesyorkan penggunaan kelambu insektisid bagi bayi dan orang dewasa bagi mencegah gigitan nyamuk.

Kanak-kanak berusia bawah lima tahun menyumbang 75 peratus kematian berkaitan malaria, menurut data WHO. Kira-kira 95 peratus kes malaria dilaporkan di Afrika, begitu juga 95 peratus kematian akibat penyakit itu.

Pada 2024, sebanyak 265 juta kes dan 579,000 kematian direkodkan.

Vaksin yang menawarkan perlindungan tertentu kepada kanak-kanak kecil daripada penyakit bawaan nyamuk itu sudah tersedia sejak beberapa tahun lepas.

Kelulusan WHO itu membolehkan negara-negara membenarkan penggunaan ubat berkenaan walaupun mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian klinikal sendiri. 

Ia juga membolehkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membelinya dan, tertakluk kepada kebenaran kerajaan, menggunakannya di negara-negara yang mempunyai penyakit itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video