DUNIA
William, Kate kenang 3 tahun kemangkatan Ratu, Harry pulang ke UK

Ini merupakan acara ketiga Kate dalam tempoh lima hari selepas melawat taman Muzium Sejarah Alam pada Khamis lepas. - Reuters
LONDON: Puteri Wales, Catherine, menyertai suaminya Putera William dalam satu acara memperingati ulang tahun ketiga kemangkatan Ratu Elizabeth II, sementara adik William, yang renggang hubungan, Putera Harry, kembali ke United Kingdom (UK) buat kali pertama dalam tempoh lima bulan, lapor PA Media/dpa.
William dan Kate melawat Persekutuan Kebangsaan Institut Wanita di Sunningdale, Berkshire, pada Isnin, manakala Putera Harry, Duke Sussex, berada di London untuk Anugerah Tahunan WellChild, satu badan amal yang dekat di hatinya sebagai penaung lama, sebelum meneruskan lawatan ke sebuah studio rakaman komuniti di Nottingham pada Selasa.
Ini merupakan acara ketiga Kate dalam tempoh lima hari selepas melawat taman Muzium Sejarah Alam pada Khamis lepas, sebelum menyaksikan pasukan Red Roses menewaskan Australia 47-7 dalam perlawanan Piala Dunia Ragbi Wanita di Brighton pada Sabtu.
Tidak diketahui sama ada Harry, yang renggang hubungannya dengan William dan bermasalah dengan bapanya, Raja Charles III, akan mengadakan pertemuan semula sepanjang lawatannya.Charles, yang kini berada di Balmoral, Aberdeenshire, bersama Permaisuri Camilla, tidak mempunyai sebarang acara awam minggu ini.
Harry dan Charles kali terakhir bertemu lebih setahun setengah lalu apabila Duke itu terbang merentasi Atlantik untuk menemui baginda pada Februari 2024 selepas dimaklumkan mengenai diagnosis kanser, tetapi mereka hanya sempat meluangkan masa selama 30 minit sebelum Raja berangkat ke Sandringham untuk berehat.
Kedua-dua Harry dan William menghadiri pengebumian bapa saudara mereka Robert Fellowes di Norfolk tahun lalu, namun dilaporkan tidak berlaku sebarang interaksi antara mereka.

Putera Harry berada di London untuk Anugerah Tahunan WellChild, satu badan amal yang dekat di hatinya sebagai penaung lama. - Reuters
Pada Selasa, William dijadual melawat sebuah organisasi belia di Lambeth, selatan London, manakala Harry akan kembali ke Community Recording Studio (CRS) di kawasan St Ann's, Nottingham.
Harry kali terakhir melawat CRS sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober 2019, dua bulan sebelum beliau dan isterinya, Meghan, Duchess Sussex, mengumumkan keputusan untuk berundur sebagai kerabat diraja senior dan berpindah ke Amerika Utara.
Beliau merancang untuk mengadakan taklimat peribadi bersama Children in Need, Pesuruhjaya Polis dan Jenayah, CRS dan kumpulan komuniti Epic Partners di Nottingham, selain mengadakan pertemuan semula secara tidak formal dengan beberapa belia yang pernah ditemui sebelum ini, menyaksikan persembahan artis CRS dan menyampaikan ucapan ringkas.
Duke itu berharap dapat menghimpunkan pihak berkepentingan, pempengaruh dan bakal penaja untuk memberi perhatian terhadap kerja-kerja organisasi akar umbi seperti CRS dan Epic Partners serta badan latihan sukan Coach Core.
Coach Core pada asalnya dimulakan sebagai program oleh William, Harry dan Kate menerusi Royal Foundation mereka pada 2012 bagi menggunakan kuasa sukan untuk mengubah kehidupan serta melatih belia sebagai perantis.
Ia kemudiannya menjadi sebuah badan amal bebas. Harry dan Meghan berpisah daripada Royal Foundation William dan Kate pada 2019 selepas timbul khabar angin mengenai keretakan hubungan.
Sementara itu, William akan melawat Spiral Skills, sebuah organisasi yang menerima dana daripada inisiatif menentang gelandangan beliau, Homewards, untuk berpindah ke hab belia baharu di The Oasis Village, Tulse Hill.
Organisasi belia yang ditubuhkan pada 2015 itu bekerjasama dengan sekolah, pertubuhan belia dan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan intervensi awal, sokongan, kemahiran boleh guna kerja serta akses kepada perkhidmatan bagi golongan muda berusia 14 hingga 25 tahun, menurut Istana Kensington.
Putera itu akan melawat premis baharu Spiral Skills untuk melihat bagaimana organisasi tersebut membantu golongan muda, sebelum menghadiri bengkel bersama Young Creators UK, sebuah agensi kreatif milik belia terpinggir yang mendapat rujukan daripada Spiral Skills.
William turut disertai oleh advokat Homewards dan bekas pemain tengah England, Fara Williams, untuk mendengar pengalaman mereka yang mendapat keyakinan dan kemahiran baharu hasil bantuan organisasi itu.
Pada Rabu, beliau dijadual melawat hab kesihatan mental baharu di Stadium Principality, Cardiff, yang dikendalikan Yayasan Jac Lewis, sebuah badan amal berpangkalan di Ammanford, barat daya Wales, yang ditubuhkan mengenang Jac dan disokong Royal Foundation.
Hab itu akan menyediakan sokongan kepada individu berisiko bunuh diri, manakala kerjasama dengan Royal Foundation membolehkan ia beroperasi sehari seminggu selama tiga tahun.
Dalam lawatan yang bertepatan dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia itu, William akan bertemu keluarga dan rakan Jac termasuk bapanya Jesse serta rakan sepasukan dari kelab bola sepak Jac, Ammanford FC, sebelum berbincang dengan ahli Kesatuan Ragbi Wales dan kelab Swansea City FC mengenai peranan sukan dalam menyokong kesihatan mental pemain serta peminat.
Pegawai kanan kepada Raja Charles dan Harry dilihat bersama di London pada Julai lalu dalam apa yang dilaporkan sebagai langkah awal untuk membuka saluran komunikasi antara kedua-dua pihak.
Harry, yang sebelum ini membuat pelbagai tuduhan terhadap Raja, Permaisuri, William dan Kate menerusi temu bual Oprah, dokumentari Netflix serta memoirnya "Spare", memberitahu BBC pada Mei bahawa Charles enggan bercakap dengannya kerana pertikaian mahkamah, malah beliau tidak tahu "berapa lama lagi ayahanda saya ada."
Namun, beliau turut menyuarakan harapan untuk berdamai dengan keluarganya, dengan berkata: "Sudah tentu, ada ahli keluarga yang tidak akan pernah memaafkan saya kerana menulis buku itu. Sudah tentu, mereka tidak akan memaafkan saya kerana banyak perkara lain."
Beliau menambah: "Tetapi saya masih mahu perdamaian dengan keluarga saya, dan tiada gunanya untuk terus bertelagah."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami