DUNIA

X perlu perbaiki Grok AI atau berdepan penguatkuasaan DSA - EU

Bernama 13/01/2026 | 13:43 MYT
Pada Isnin, pengawal selia media UK, Ofcom, melancarkan siasatan terhadap syarikat teknologi xAI milik Elon Musk dan chatbot Grok AI. - Gambar fail
MOSCOW: Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah bagi Kedaulatan Teknologi, Keselamatan dan Demokrasi Henna Virkkunen memberi amaran pada Selasa bahawa platform media sosial X akan berdepan penguatkuasaan penuh Akta Perkhidmatan Digital (DSA), Kesatuan Eropah (EU) jika gagal menangani isu berkaitan chatbot Grok AI miliknya, dalam blok itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Isnin, pengawal selia media United Kingdom (UK), Ofcom, melancarkan siasatan terhadap syarikat teknologi xAI milik Elon Musk dan chatbot Grok AI, yang didakwa digunakan untuk menjana imej pornografi.

Jika pelanggaran didapati berlaku, Ofcom boleh mengenakan denda sehingga 10 peratus daripada hasil global syarikat berkenaan.

"X kini perlu membaiki alatan AI mereka di EU dan mereka perlu melakukannya dengan segera. Jika tidak, kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan sepenuhnya DSA bagi melindungi warga EU," kata Virkkunen di platform X.

Suruhanjaya Eropah membuka satu siasatan dan meminta dokumen dalaman daripada syarikat yang memiliki X, kata Virkkunen.

Pada 3 Jan, Musk menyatakan di platform X bahawa "sesiapa yang menggunakan Grok untuk menghasilkan kandungan haram akan menerima akibat yang sama seperti jika mereka memuat naik kandungan haram."

EU mula melaksanakan DSA, satu set peraturan yang bertujuan mewujudkan ruang digital yang lebih selamat di seluruh blok itu, pada Mei 2023.

Peraturan itu mewajibkan platform dalam talian mempunyai sistem penyederhanaan kandungan yang berkesan dan telus, serta menghapuskan maklumat palsu, mengelirukan atau berbahaya.

Pada Februari 2024, EU mula menguatkuasakan DSA secara menyeluruh ke atas semua platform dalam talian.

-- BERNAMA

#Kesatuan Eropah #X #Grok #AI #penguatkuasaan