[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Xi Jinping terima kunjungan Perdana Menteri Australia di tengah-tengah hubungan yang kian pulih

Bernama 15/07/2025 | 22:30 MYT
Presiden Xi Jinping (kanan) dan Perdana Menteri Anthony Albanese berjabat tangan semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Beijing, China, pada Selasa. - Gambar Reuters
ANKARA: Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengadakan pertemuan di Beijing pada Selasa bagi memperkukuh hubungan perdagangan meskipun berbeza pandangan dalam isu keselamatan serantau dan hak asasi manusia, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media China dan Australia.

Xi memberitahu Albanese, hubungan China-Australia kini telah "berubah ke arah yang lebih baik", merujuk kepada tempoh sukar antara 2020 hingga 2022 apabila hubungan kedua-dua negara memasuki fasa tegang, menurut laporan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Beliau menyatakan, hubungan dua hala telah "bangkit semula daripada halangan itu dan berubah ke arah lebih positif", sekali gus membawa "manfaat nyata" kepada rakyat kedua-dua negara.

Xi berkata, kemajuan ini, membuktikan pentingnya "komitmen terhadap layanan sama rata" dan "mencari titik persamaan sambil berkongsi perbezaan".

Frasa "layanan sama rata" itu dipercayai merujuk kepada keluhan Beijing terhadap sekatan pelaburan pihak China oleh Canberra, termasuk keputusan kerajaan persekutuan membatalkan pegangan syarikat China, Landbridge ke atas Pelabuhan Darwin.

Ia juga mungkin sindiran halus terhadap tarif "Hari Pembebasan" yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Xi berkata, usaha mencari persamaan sambil mengetepikan perbezaan adalah selaras dengan "kepentingan asas kedua-dua negara dan rakyat".

Memetik laporan agensi berita Xinhua yang berpangkalan di Beijing, Xi berkata, perkongsian strategik komprehensif China-Australia kini memasuki dekad kedua dan China bersedia bekerjasama dengan Australia bagi memajukan hubungan dua hala ke arah pembangunan yang sihat demi manfaat lebih besar kepada rakyat kedua-dua negara.

"Kita perlu melayan satu sama lain sebagai rakan setara, mencari titik persamaan sambil menyisihkan perbezaan, dan menjalinkan kerjasama saling menguntungkan demi kepentingan asas China dan Australia serta rakyatnya," kata Xi.

Sementara itu, Albanese yang dalam rangka lawatan seminggu ke China berkata, dialog perlu menjadi "teras hubungan" kedua-dua negara bagi mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Xi atas "penghormatan besar" menganjurkan jamuan tengah hari untuk beliau dan pasangannya, Jodie Haydon, selepas pertemuan itu - satu isyarat jelas daripada pemimpin China, menurut penganalisis di Beijing.

Ini merupakan lawatan kedua Albanese ke China sejak Parti Buruh pimpinan beliau memenangi pilihan raya pada 2022.

Parti itu berjaya mempertahankan mandat dalam pilihan raya umum Mei lepas dengan kemenangan besar.

-- BERNAMA





#China-Australia #Xi Jinping #Anthony Albenese #hubungan perdagangan