ANKARA: Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin akan menghadiri sidang kemuncak G20 di Indonesia, menurut Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), selaku tuan rumah persidangan itu tahun ini.

"Xi Jinping akan datang. Presiden Putin juga telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan hadir," lapor Agensi Anadolu memetik Jokowi sebagai berkata dalam wawancara dengan Bloomberg.

Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan G20 yang ke-17 akan berlangsung pada November di pulau peranginan Bali, Indonesia.

G20 ialah platform pelbagai hala strategik yang menghubungkan ekonomi maju dan sedang pesat membangun di dunia serta mewakili lebih 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK dunia), 75 peratus perdagangan antarabangsa dan 60 peratus penduduk dunia.

Anggota G20 ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Sepanyol juga dijemput sebagai tetamu tetap.

-- BERNAMA