GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Yom Kippur berdarah: Dua terbunuh dalam serangan sinagog di Manchester

Agensi 02/10/2025 | 22:10 MYT
Orang ramai berkumpul berhampiran lokasi kejadian selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki dan insiden tikaman dilaporkan berhampiran sebuah sinagog di utara Manchester, pada Khamis. - Gambar Reuters
MANCHESTER: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam satu serangan di sebuah rumah ibadat atau sinagog di sini, ketika penganut Yahudi sedang menunaikan ibadah sempena Yom Kippur, hari paling suci dalam kalendar komuniti itu, pada Khamis.

Menurut Polis Greater Manchester, suspek bertindak memandu kereta merempuh orang awam sebelum menikam seorang pengawal keselamatan di pekarangan Heaton Park Hebrew Congregation Synagogue di kawasan Crumpsall.

Suspek yang dilaporkan memakai vest menyerupai bahan letupan ditembak mati oleh polis yang bergegas ke lokasi.

Unit pemusnah bom kemudian mengesahkan bahawa peranti yang dipakai suspek tidak berfungsi.

Rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan detik polis menembak suspek di dalam kawasan sinagog sambil kedengaran jeritan “dia ada bom, beredar sekarang!” oleh anggota polis bersenjata kepada orang ramai.

Seorang penduduk tempatan, Angela Crawshaw berkata, dia melihat tiga anggota polis mengacukan senjata ke arah suspek di tempat letak kereta di sinagog itu sebelum melepaskan tembakan selepas lelaki itu cuba bangun semula walaupun sudah rebah.

Ketua Anti-Keganasan United Kingdom (UK), Laurence Taylor mengesahkan insiden itu diklasifikasikan sebagai serangan pengganas.

Beliau turut memaklumkan, polis optimis dengan identiti suspek, namun belum dapat disahkan, sementara dua lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang pulang awal dari sidang kemuncak di Copenhagen untuk mempengerusikan mesyuarat tergempar di London, berikrar mempertingkat kawalan keselamatan di rumah ibadat Yahudi.

“Kebencian ini sedang bangkit semula dan Britain mesti menewaskannya sekali lagi,” tegasnya sambil memberi jaminan solidariti kepada masyarakat Yahudi di negara itu.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar mengecam kerajaan Britain kerana didakwa gagal mengekang antisemitisme yang semakin berleluasa.

Selepas kejadian, kira-kira 30 penganut Yahudi termasuk warga emas dan kanak-kanak diiring keluar polis, kebanyakan mereka dalam keadaan menangis dan terkejut.

Ketua Polis Greater Manchester, Stephen Watson berkata, keberanian pengawal keselamatan, penganut serta tindakan pantas polis berjaya menghalang suspek daripada memasuki dewan utama sinagog.
Raja Charles turut menyatakan rasa “sangat terkejut dan sedih” atas insiden itu.

Seorang saksi lain, Chava Lewin berkata, suspek sejurus keluar dari kereta terus menikam sesiapa sahaja yang berada berdekatan, termasuk cuba memecah masuk ke dalam sinagog.

Serangan ini berlaku dalam suasana kebimbangan terhadap peningkatan insiden antisemitisme di UK, yang dilaporkan mencatatkan lebih 3,500 kes pada 2024 - antara jumlah tertinggi dalam sejarah moden.

Gelombang serangan terhadap komuniti Yahudi turut dilaporkan meningkat di seluruh dunia susulan konflik Gaza, termasuk di Perancis dan Jerman.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi hantaran di X menyatakan solidariti negaranya terhadap masyarakat Yahudi di Britain.

Britain sebelum ini pernah berdepan serangan pengganas besar, termasuk pengeboman berani mati di sistem pengangkutan London pada 2005 yang meragut 52 nyawa dan serangan di konsert Ariana Grande di Manchester pada 2017 yang mengorbankan 22 orang.

Pihak berkuasa keselamatan UK juga memberi amaran ancaman pengganas sayap kanan kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi


#Yom Kippur berdarah #serangan sinagog #penganut Yahudi #rumah ibadat Yahudi