Skip to main content

Dunia

Zambia lancar kempen vaksinasi kolera, bendung penularan wabak

Wabak itu kini merebak ke 12 daerah di lima wilayah negara berkenaan. - Foto X/The Eastleigh Voice
Wabak itu kini merebak ke 12 daerah di lima wilayah negara berkenaan. - Foto X/The Eastleigh Voice

Advertisement

LUSAKA: Zambia pada Jumaat melancarkan kempen vaksinasi kolera secara oral yang menyasarkan ibu negara, Lusaka sebagai pusat utama penularan wabak itu, selain Daerah Chibombo di Wilayah Tengah, lapor Xinhua.

Lebih 500,000 dos vaksin dijangka diperuntukkan kepada kedua-dua daerah itu dalam fasa pertama kempen berkenaan, manakala 480,000 dos lagi dijangka tiba tidak lama lagi untuk diagihkan ke kawasan lain yang terjejas.

Ketika berucap pada majlis pelancaran, Menteri Kesihatan Roma Chilengi berkata kempen bersasar itu bertujuan melindungi penduduk di kawasan paling terjejas, di samping memastikan bekalan vaksin global yang terhad digunakan secara optimum.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk menamatkan ancaman kolera terhadap kesihatan awam serta merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama dan sektor swasta atas sokongan dalam menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada keluarga yang terjejas.

Chilengi berkata wabak itu kini merebak ke 12 daerah di lima wilayah negara berkenaan.

Menurut beliau, Zambia merekodkan sebanyak 966 kes kolera secara kumulatif, termasuk 43 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, dengan 25 kematian. 

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement